Dimensia : Pak Lah tidak ingat nama

KUALA LUMPUR 11 Sept. – Bekas Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi atau lebih dikenali Pak Lah menghidap demensia, tidak mengingati namanya, isteri serta ahli keluarga lain, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, ramai orang tertanya-tanya keberadaan bapa mentuanya itu yang sudah lama tidak kelihatan di tempat umum.

“Saya ingin berkongsi satu perkara peribadi yang tidak pernah dikongsikan sebelum ini yang Pak Lah menghidap demensia.

“Beliau mula menunjukkan tanda kemerosotan kognitif (cognitive impairment) sejak pada 2009 selepas beliau bersara daripada jawatan Perdana Menteri.

Beliau kini terpaksa duduk atas kerusi roda, umpama mempunyai kehadiran fizikal dan fikirannya tiada,” katanya.

Khairy yang juga menantu Pak Lah berkata demikian pada Majlis Pelancaran Panduan Amalan Klinikal (CPG) Pengurusan Demensia (Edisi Ketiga) dan Pengurusan Schizophrenia (Edisi Kedua) di Sheraton Imperial di sini, hari ini.

Khairy menjelaskan, bapa mentuanya tidak lagi berkeadaan biasa, tidak mengenali orang terdekatnya.

“Saya tahu beliau masih mengenali saya apabila melihatnya mengerdipkan mata, apabila saya melawatnya.

“Lebih banyak hari yang sukar berbanding hari yang lancar. Jadi doakan beliau dan kami berharap untuk hari yang lebih baik akan datang,” katanya.

Pada 15 November tahun lalu, Pejabat Tun Abdullah Ahmad Badawi menafikan penularan berita bekas Perdana Menteri kelima itu meninggal dunia.

Khairy berkata, pendedahan mengenai penyakit dihidapi Pak Lah itu dibuat selepas mendapat persetujuan daripada keluarganya.

“Bagi pesakit demensia, pengurusan penjagaan adalah paling mencabar. Saya melihat bagaimana ibu mentua, auntie Jean melalui situasi sukar kerana demensia bukan satu penyakit, tetapi memerlukan penjagaan rapi 24 jam,” katanya.

Katanya, selepas beberapa tempoh, pesakit memerlukan penjagaan berterusan sepanjang masa bagi memastikan keselamatannya terpelihara.

“Justeru kami menyediakannya jururawat profesional untuk bersamanya 24 jam. Kami agak bernasib baik kerana mampu berbuat demikian, bayangkan orang yang tidak mampu.

“Demensia tidak boleh didiskriminasi. Bayangkan orang yang tidak mempunyai akses kepada penjagaan yang tidak mampu tetapi mereka perlu menjaganya kerana ahli keluarga,” katanya.

Related posts

Leave a Comment