Pas gesa pengundi tidak undi PH

KUALA LUMPUR 29 Jun – Pas menggesa pengundi tidak memberikan undi kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor, termasuk di kerusi yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan PH.

Gesaan itu adalah antara lima ketetapan yang diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang dipengerusikan Presidennya, Abdul Hadi Awang, di sini hari ini.

Abdul Hadi menerusi satu kenyataan berkata, Pas turut menegaskan komitmennya mempertahankan kuasa politik Melayu dan Islam di Johor menerusi pilihan raya yang akan berlangsung pada 11 Julai ini.

Katanya, parti akan menggerakkan seluruh jentera di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya, serta memperhebat usaha menyantuni seramai mungkin pengundi daripada pelbagai lapisan masyarakat menerusi slogan ‘Jom Jaga Johor’.

Pas katanya turut memutuskan memulakan persiapan awal bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Negeri Sembilan.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Ahmad Marzuk Shaary, menegaskan tiada perbincangan mengenai nasib Bersatu dalam mesyuarat itu.

“Hari ini mesyuarat Pas (sahaja). Tiada kaitan (dengan isu Bersatu),” katanya ringkas kepada media.

Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim turut mengesahkan tiada sebarang perbincangan berhubung Bersatu dalam mesyuarat berkenaan.

“Kita berada dalam satu gabungan iaitu Perikatan Nasional (PN). Tiada perbincangan mengenai (Bersatu),” katanya.

Pas sebelum ini memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu, namun kedua-dua parti itu masih kekal sebagai komponen dalam gabungan PN.

Malah, menerusi mesyuarat agihan kerusi PN bagi PRU DN Johor minggu lalu, Pas, Bersatu, Pejuang dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) berjaya memuktamadkan pembahagian kerusi DUN yang akan ditandingi.

PN akan bertanding di 33 kerusi DUN dengan Bersatu diperuntukkan 16 kerusi, diikuti Pas (11), MIPP (lima) dan Pejuang (satu).

Nnnn

Related posts

Leave a Comment