Agong, Permaisuri ucap takziah

KUALA LUMPUR 9 Sept . – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada kerabat diraja Britain atas kemangkatan Ratu Elizabeth II.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua bertitah baginda akan dikenang oleh Seri Paduka Baginda, kerajaan dan rakyat Malaysia atas komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada Komanwel yang menjadi kebanggaan Malaysia dan usaha baginda untuk menggalakkan hubungan yang lebih kukuh, di antara United Kingdom dan Malaysia.

“Ratu Elizabeth II juga akan dikenang atas dedikasi baginda kepada rakyat dan kerajaan United Kingdom serta keprihatinan baginda yang mendalam terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

“Ingatan dan doa dititipkan kepada kerabat diraja dan rakyat Britain yang turut merasai kesedihan atas kemangkatan Seri Paduka Ratu Elizabeth II,” menurut kenyataan itu.

Mengimbau kembali kenangan bertemu Ratu Elizabeth II, Seri Paduka berdua berangkat mengadakan kunjungan hormat dan menghadiri majlis santapan tengah hari bersama Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham, London dalam lawatan yang bermula pada 9 Disember 2019.

Kunjungan hormat dan majlis santapan tengah hari itu bersempena lawatan khas tujuh hari Seri Paduka ke England.

Ratu Elizabeth II pernah melawat Malaysia tiga kali pada 1972 (Lawatan Khas), 1989 (Mesyuarat Ketua-Ketua Negara Komanwel ke-11) dan 1998 (Sukan Komanwel ke-16).

Sementara itu, pada satu majlis lain, baginda berkenan berkongsi memori bersama pemerintah diraja Britain itu sewaktu baginda menuntut ilmu di England pada awal 1970 dan 1980-an.

Titah baginda, mendiang Ratu Elizabeth II disifatkan sebagai seorang Ratu dan umpama seorang ‘ibu’ yang menyenangkan dan akan sentiasa diingati rakyat di United Kingdom (UK).

“Berkongsi memori saya bersama Ratu Elizabeth di England pada awal tahun 1970, 1980-an ketika saya masih belajar di sana.

“Kami berbual begitu baik, juga bersama Raja Charles III, beliau pernah bermain sukan Polo bersama pasukan saya, Royal Pahang pada tahun 1976 di Guards Polo Club (UK),” jelas baginda.

Baginda bertitah ketika ditemui media semasa majlis pelancaran buku ‘Weathering The Economic Storm: A Journey through the Uncharted Waters of Covid-19’ tulisan Menteri Kewangan, Tengku  Zafrul Tengku Abdul Aziz di ibu negara.

Titah baginda lagi, kali terakhir bertemu dengan mendiang Ratu Elizabeth II adalah pada tahun 2019, ketika menerima jemputan satu majlis makan tengah hari.

“Seperti saya maklumkan, kali terakhir saya bertemu Ratu Elizabeth pada tahun 2019, beliau menjadi tuan rumah makan tengah hari dan menjemput kami, kami meluangkan masa berbual sambil makan, saya masih ingat apa yang diceritakannya ketika datang ke Malaysia.

“Beliau amat seronok datang ke Malaysia. Beliau seorang wanita dan Ratu yang sangat menyenangkan, sudah tentu kita akan merinduinya.

“Sudah tentu rakyat tidak akan melupakannya, beliau seorang Ratu dan ‘ibu’ yang sangat hebat buat England dan UK,” titah baginda lagi.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa simpati kepada Raja Charles III, keluarga diraja Britain dan rakyat UK atas pemergian mendiang Ratu Elizabeth III itu.

“Sangat sedih dan amat mengejutkan buat kita semua, kami juga menzahirkan simpati buat Raja Charles III, keluarga diraja Britain dan seluruh rakyat UK.

“Kita harap di bawah pemerintahan Raja Charles III ini memberi harapan dan sinar baharu buat England dan UK di masa hadapan.

“Banyak ketidaktentuan berlaku, antaranya dari sudut ekonomi, begitu juga peperangan di Ukraine. Saya fikir banyak perkara yang beliau (Raja Charles) perlu uruskan, begitu juga Perdana Menteri baharu, Liz Truss,” titah baginda lagi.

Related posts

Leave a Comment