Bermulanya Operasi London Bridge

LONDON: Operasi London Bridge adalah kod atau kata laluan untuk perancangan upacara pengebumian yang akan dilakukan dalam tempoh beberapa minggu atau bulan selepas kemangkatanRatu Elizabeth II.

Berdasarkan ‘Operasi London Bridge’, pada hari kemangkatan Ratu Elizabeth, Setiausaha Sulitnya, Edward Young, akan memberikan mesej ‘London Bridge is down’ berkenaan kepada Perdana Menteri, Liz Truss.

Perdana Menteri kemudian akan mengatur rancangan Operasi London Bridge, bermula dengan memaklumkan kemangkatan baginda kepada dunia luar, didahului dengan 15 kerajaan yang mengiktiraf Ratu Elizabeth sebagai ketua negara.

Ia kemudian diikuti dengan makluman kepada 36 negara dan pemimpin Komanwel lain di seluruh dunia. Notis kemangkatan Ratu dengan logo berwarna hitam akan dipaparkan di pintu pagar utama Istana Buckingham.

Pada masa sama, berita kemangkatan itu akan disebarkan kepada pihak media untuk dilaporkan kepada negara seluruh dunia.

Setiap media akan bersedia dengan berita itu dan setiap stesen radio mempunyai rangkaian untuk menyebar pemberitahuan mengenai tragedi negara iaitu kemangkatan Ratu Elizabeth.

Semua berita lain di BBC akan dihentikan sementara, untuk memberi laluan kepada berita kemangkatan Ratu.

Pembaca berita akan menukar pakaian mereka kepada sut hitam dan warna tema BBC News yang asalnya merah akan bertukar kepada warna hitam.

Pada hari kemangkatan, Putera sulung Ratu, Putera Charles akan segera diangkat sebagai Raja Charles III.

Premis perniagaan dan urus niaga saham akan ditutup bagi memberi penghormatan.

Pada hari sebelum upacara pengebumian, Raja Charles III akan memberikan ucapan rasmi pertamanya sebagai Raja dan ketua kerajaan serta akan mengangkat sumpah setia dengan 41 das tembakan hormat di Hyde Park, London.

Selepas itu, baginda akan mengatur jelajah UK, melawat pemimpin kerajaan di ibu kota setiap negeri, Edinburgh, Belfast dan Cardiff sebelum kembali ke London.

Dalam tempoh ini, stesen televisyen akan memainkan banyak dokumentari yang tersedia sebagai penghormatan kepada Ratu Elizabeth.

BBC pula tidak akan memainkan rancangan berbentuk hiburan seperti program komedi sehingga pengebumian baginda.

Empat hari selepas kemangkatan, keranda Ratu akan diletakkan di pedati tentera diraja dan diarak dari Istana Buckingham ke Westminster Hall, lokasi di mana baginda akan diletakkan selama empat hari selepas Raja Charles dan keluarga diraja memberikan penghormatan terakhir.

Kemudian, pintu dibuka kepada ratusan ribu orang untuk memberikan penghormatan sama.

Upacara pengebumian akan mengambil masa selama 10 hingga 12 hari selepas Ratu Elizabeth mangkat dan hari pengebumian akan menjadi cuti rasmi di seluruh UK.

Bursa Saham akan ditutup untuk kali kedua dalam tempoh dua minggu dan kebanyakan perniagaan akan turut mengikutinya.

Tepat pukul 11 pagi, menara jam Big Ben akan membunyikan locengnya dan seluruh negara akan mula bertafakur.

Keranda Ratu akan dibawa keluar ke dalam Webminster Abbey, di mana tetamu terhormat memberikan penghormatan dan berdoa.

Selepas itu, keranda itu akan dibawa ke Istana Windsor dan akhir sekali ke Gereja St George di mana Ratu Elizabeth akan disemadikan di sebelah mendiang ayahandanya, Raja George VI.

Dalam masa setahun selepas pengebumian, upacara pertabalan rasmi Raja Charles III akan berlangsung.

Related posts

Leave a Comment