Vaksinasi influenza tahunan warga emas

PETALING JAYA 7 Sept. – Vaksinasi influenza tahunan bagi warga emas terbukti dapat mengurangkan risiko penghospitalan dan kematian lebih 40 peratus, kata Pengerusi Jawatankuasa Teknikal  Immunise4Life (IFL), Prof Dr Zulkifli Ismail

Selain itu, katanya, suntikan tahunan juga memberi manfaat kepada mereka yang menghidap diabetes dengan mengurangkan risiko strok (sebanyak 30 peratus), kegagalan jantung (22 peratus) dan serangan jantung (19 peratus).

“Manakala, bagi pesakit jantung, vaksinasi influenza mengurangkan kemungkinan peristiwa kardiovaskular utama (sebanyak 36 peratus). Kemungkinan mengalami kematian berkurang sebanyak 18 peratus dalam kalangan orang yang mengalami kegagalan jantung.

“Individu yang baru sahaja mengalami sindrom koronari akan dapat mengurangkan risiko kesan buruk sebanyak 45 peratus,” katanya pada pelancaran kempen Mencegah Influenza Pada Usia Menjangkau 65 Tahun anjuran program IFL di sini.

Warga emas juga dinasihati untuk mengamalkan sikap yang proaktif dan tidak memandang rendah terhadap kesan jangka panjang influenza.

“Jangan tunggu wabak untuk mendapatkan suntikan influenza. Sebaliknya, jadikan pengambilan vaksin sebagai komitmen tahunan.

“Jangan memandang rendah terhadap influenza kerana hanya satu jangkitan sahaja boleh menyebabkan anda dan orang yang anda sayangi mengalami kesan jangka panjang yang teruk,” jelasnya.

Zulkifli juga berharap agar Malaysia mencontohi negara lain dalam menawarkan vaksin influenza percuma kepada kumpulan berisiko tinggi, termasuk warga emas.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan I,  Dr Noor Azmi Ghazali menggesa warga  emas berusia 65 tahun dan ke atas  mendapatkan vaksin terhadap penyakit itu setiap tahun bagi mengurangkan risiko penyakit teruk.

“Saya juga mengingatkan orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mengikut kesesuaian seperti memakai pelitup muka, mencuci tangan dengan kerap dan menjauhi mereka yang menunjukkan simptom-simptom penyakit pernafasan,” katanya.

Beliau berkata, pencegahan influenza turut tersenarai sebagai salah satu tabiat gaya hidup yang disyorkan untuk warga emas, bagi membantu mengekalkan kesihatan, kebolehan berdikari serta meningkatkan kualiti hidup mereka.

Kempen Mencegah Influenza pada Usia Menjangkau 65 Tahun ialah fasa keempat dalam inisiatif ‘Flu Prevention is an Act of Love’ (AOL) yang dilancarkan pada 2019.

Untuk maklumat lanjut tentang pencegahan influenza untuk warga emas, boleh melayari https://actoflove.ifl.my/warga-emas.

Related posts

Leave a Comment