Jika lulus GTA guna obor hadapi PRU15

PUTRAJAYA 6 Sept. – Gerakan Tanah Air (GTA) hari ini mengemukakan permohonan logo dan pendaftaran parti itu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), sebagai persiapan untuk menyertai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jawatankuasa penaja GTA bertemu Ketua Pengarah RoS Mohd Nawardi Saad bagi menyerahkan dokumen berkaitan serta berbincang berhubung pendaftaran itu.

Pengerusi GTA, Dr Mahathir Mohamad dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh Ketua Setiausaha GTA Datuk Marzuki Yahya di sini hari ini berkata, jika diluluskan gabungan empat parti itu akan menggunakan lambang obor.

“Bagi melayakkan GTA bertanding dalam PRU15 maka kita melakukan proses sewajarnya berdasarkan undang-undang dengan mendaftarkan gabungan politik ini kepada RoS,” kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir  masih menjalani kuarantin di rumah selepas dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) pada Ahad lepas. Beliau dimasukkan ke IJN selepas disahkan positif COVID-19 pada 31 Ogos lepas.

Pada 4 Ogos lepas, bekas Dr Mahathir mengumumkan penubuhan GTA yang disertai Pejuang, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

Sementara itu, Presiden Pejuang yang juga Timbalan Pengerusi Penaja GTA  Mukhriz Mahathir berharap permohonan pendaftaran bagi membolehkan GTA menyertai PRU15 nanti dapat pertimbangan sewajarnya daripada RoS.

Mukhriz berkata GTA menawarkan kepada rakyat satu gabungan baharu yang setanding dengan gabungan sedia ada seperti Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PN).

“Persediaan menghadapi PRU15 sedang berjalan dan parti-parti gabungan bergerak bersama dengan berkongsi kekuatan masing-masing,” katanya.

Related posts

Leave a Comment