Filipina hampiri 300,000 kes

FILIPINA setakat pukul 4 petang hari ini, 25 September 2020, melaporkan 2,630 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah kes meningkat kepada 299,361. Kes aktif pula sebanyak 61,766.

Jabatan Kesihatan (DOH) juga mengumumkan 494 kes pemulihan yang membawa jumlah keseluruhan kes sembuh meningkat kepada 232,399.

Sebanyak 69 kematian dilaporkan dan ini menjadikan jumlah mereka yang meninggal dunia kini 5,196.

INDONESIA mencatatkan 4,823 kes positif baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam, jumlah tertinggi sejak kes pertama dikesan di republik itu pada 2 Mac 2020.

Berdasarkan perkembangan itu, jumlah keseluruhan kes positif meningkat kepada 266,845 manakala 112,082 pesakit masih dalam pemantauan virus berkenaan.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, 25 September, sebanyak 113 lagi kematian direkodkan, menjadikan jumlah kumulatif 10,218 orang.

Jakarta masih mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi di republik itu iaitu 67,902 kes, dengan tambahan 1,171 kes baharu.

Gabenor Jakarta Anies Baswedan dalam satu kenyataan mengumumkan Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) di Jakarta itu dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi iaitu sehingga 11 Oktober ini.

Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 3,084 orang, diikuti Jakarta (1,661), Jawa Tengah (1,372) dan selebihnya di wilayah lain.

SINGAPURA mencatatkan 11 kes baharu jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas menjadikan jumlah keseluruhan kes di republik itu mencecah 57,665.

Kementerian Kesihatan (MoH) republik itu berkata terdapat dua kes import yang diserahkan Notis Duduk di Rumah sebaik sahaja tiba di Singapura.

Berdasarkan siasatan, setakat ini tiada kes dalam komuniti.

MoH mengklasifikasikan 1,034 kes dilaporkan sebagai kes import, 2,244 kes komuniti dan 54,376 melibatkan penghuni asrama.

Sebanyak 57,333 kes sudah pulih sepenuhnya dan 28 kes disahkan masih lagi berada di hospital.

Sementara itu, 266 pesakit yang bergejala ringan atau secara klinikalnya sihat tetapi masih positif dalam saringan Covid-19 telah diasingkan.

Setakat ini, 27 orang meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 di republik itu.

THAILAND melaporkan tiga kes positif baharu Covid-19 termasuk dua jangkitan semula yang melibatkan rakyat tempatan yang baru pulang dari luar negara. Ini menjadikan kes terkumpul berjumlah 3,519 dengan 59 kematian.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), kes melibatkan seorang wanita berusia 42 tahun serta dua lelaki berumur 42 dan 58 tahun.

Wanita berkenaan baru pulang dari Amerika Syarikat pada Sabtu lepas sementara dua lelaki masing-masing kembali dari Singapura dan Kuwait.

Sebelum kembali ke tanah air, kedua-dua lelaki tersebut diuji positif dan menerima rawatan di negara yang berkenaan.

Kedua-duanya sedang menjalani kuarantin wajib di pusat milik kerajaan ketika diuji positif Covid-19. Kini mereka sedang menerima rawatan di hospital.

Related posts

Leave a Comment