Muda sertai PH belum dibincang

KUALA LUMPUR 5 Sept. – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) belum membincangkan penyertaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) ke dalam PH walaupun pimpinan parti baharu itu kerap menyertai program anjuran PH.

Pengerusi PH, yang juga Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, berkata isu penyertaan Muda ke dalam PH tidak pernah disentuh dalam mesyuarat Majlis Presiden PH tetapi kerjasama dan perbincangan dengan Muda berjalan baik.

Bagaimanapun, katanya, kerjasama dan perbincangan antara PH dengan parti pimpinan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu berjalan baik ketika ini.

“Soal kerjasama dan perbincangan tiada masalah, ia berjalan baik dalam kalangan pembangkang. Tapi untuk penyertaan (Muda) dalam PH, belum dibincangkan,” katanya selepas Simposium Perubahan Iklim 2022 anjuran Pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pembabitan pemimpin Muda dalam beberapa program anjuran PH, memberi isyarat bahawa parti itu akan bergabung dengan PH.

Ditanya kemungkinan PH bekerjasama dengan Gerakan Tanah Air (GTA) pimpinan Dr Mahathir Mohamad, Anwar memberi bayangan ia sukar berlaku kerana kedua-dua parti memiliki prinsip berbeza.

“Kita lebih menekankan soal pengurusan kerajaan negara yang baik, menolak rasuah, mempertahankan prinsip Perlembagaan, kedudukan bahasa, agama, raja-raja dan hak keistimewaan tapi tidak berasaskan kaum seperti diutarakan (GTA),” katanya.

Beliau turut dilihat sinis dalam jawapannya apabila mengatakan ‘isu memerangi rasuah turut dibicarakan oleh perasuah besar’.

“Kita selalu menekankan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa tindakan harus lebih telus kerana orang yang bicara soal rasuah ini pelbagai ragam, termasuk perasuah besar.

“SPRM patut lebih tegas dalam menunjukkan tindakan mereka itu tidak hanya pada pimpinan satu parti, tetapi pimpinan semua parti yang terpalit dengan kes rasuah besar,” katanya.

Related posts

Leave a Comment