Pas ‘king maker’ pendekatan berbahaya

KUALA LUMPUR 5 Sept. – Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, menyifatkan pendirian Pas yang mahu menjadi ‘king maker’ (penentu kerajaan) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sebagai pendekatan berbahaya.

Beliau yang juga Presiden PKR dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, pendirian itu mengundang amalan ugut-mengugut dalam membentuk kerajaan.

Katanya, rakyat mahukan parti politik yang mampu mengemukakan dasar yang jelas, bukan sekadar melaungkan slogan Islam dan mahu menjadi king maker semata-mata.

“Itu satu pendekatan yang berbahaya kerana akan memberikan ugutan. King maker maknanya (ugut) kami nak sekian-sekian menteri, kedudukan, seperti mana yang berlaku sekarang.

“Kalau cakap soal slogan saja, sama ada Islam atau king maker, kita tengok di bawah kerajaan sekarang yang disertai Pas, aktiviti perjudian itu lebih parah sekarang berbanding dulu.

“Yang kita nak ialah parti yang mengemukakan dasar yang jelas. Rasuah dah menjadi barah di negara ini, penyalahgunaan kuasa, ekonomi tidak dirancang dengan memuaskan, tidak dipacu dengan meyakinkan. Hal ini bagi saya lebih utama,” katanya.

Anwar berkata demikian selepas Simposium Perubahan Iklim 2022 anjuran Pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen, hari ini. Hadir sama pada majlis itu Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Timbalan Presiden Pas.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor, yang memaklumkan Pas yakin mampu menang 40 daripada 80 kerusi yang ingin ditandingi pada PRU-15.

Sekiranya sasaran itu dapat dicapai, Menteri Besar Kedah itu yakin Pas akan menjadi king maker kerana tiada mana-mana parti dapat membentuk Kerajaan Persekutuan tanpa Pas.

Related posts

Leave a Comment