80 kerusi belum dimuktamadkan – Pas

KUALA LUMPUR 5 Sept. – Belum muktamad. Itu penjelasan Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung kenyataan seorang pemimpin Pas semalam iaitu Pas bertanding 80 kerusi dan menang 40 dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau menjelaskan 80 kerusi itu bukan jumlah yang mahu ditandingi, sebaliknya ia adalah kerusi yang dipantau Pas.

Kenyataan itu merujuk kenyataan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Muhammad Sanusi Md Nor semalam, yang memaklumkan parti itu menyasarkan untuk bertanding di 80 kerusi Parlimen pada PRU-15.

Menurut Tuan Ibrahim, Pas masih belum memuktamadkan jumlah sebenar kerusi yang mahu ditandingi, dan ia masih dibincang di peringkat parti sebelum di bawa ke peringkat Perikatan Nasional (PN).

“Jumlah kerusi kita akan berbincang di peringkat parti dan gabungan Perikatan Nasiona.l (PN) masih belum diputuskan.

“Setiap parti (dalam PN) akan buat pemantauan kepada kerusi-kerusi yang kita rasa boleh menang di kerusi,” katanya pada sidang media pada Simposium Perubahan Iklim 2022 di sini, hari ini.

Beliau ditanya sama ada jumlah 80 kerusi yang menjadi sasaran Pas yang diumumkan semasa Muktamar Tahunan Pas Ke-68 di Kompleks PAS Kedah, Alor Setar semalam, sudah dibincangkan bersama parti komponen dalam PN.

Semalam, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata Pas menyasarkan untuk bertanding di 80 kerusi Parlimen, dan yakin mampu memenangi 40 atau separuh daripada kerusi berkenaan pada PRU-15.

Jika sasaran itu dapat dicapai, Menteri Besar Kedah itu percaya tiada mana-mana parti dapat membentuk Kerajaan Persekutuan tanpa Pas.

Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP)  ketika ini sedang menganalisis kawasan pilihan raya yang mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) untuk diletakkan dalam senarai 80 kawasan yang disasarkan untuk ditandingi.

Related posts

Leave a Comment