“Saya ada bukti jemputan kepada UMNO “

ALOR SETAR 4 Sept. – “Saya bercakap kalau ada bukti, saya boleh tunjukkan jemputan yang dipanjangkan kepada UMNO,” .

Itu penegasan Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan, berhubung surat jemputan kepada pimpinan UMNO untuk menghadiri Muktamar Tahunan Pas kali ke-68 di Kompleks Pas Kedah, di sini, yang bermula semalam.

Beliau berkata, surat itu dihantar kepada UMNO secara fizikal dan secara maya kepada pimpinan UMNO, MCA dan MIC .

Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Alam Sekitar berkata, semua jemputan itu dikeluarkan dengan tarikh maklum balas kehadiran ditetapkan pada 20 Ogos lalu.

“Saya seorang peguam, saya bercakap kalau ada bukti. Saya difahamkan surat kepada jemputan turut dihantar kepada pimpinan UMNO negeri Kedah di pejabat mereka.

“Pihak saya hantar kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran, ini buktinya (sambil menunjukkan surat jemputan menerusi telefon pintar miliknya kepada media ),” katanya selepas program Penghijauan Malaysia, Kempen Penanaman Pokok bersama Komuniti Kota Sarang Semut sempena Muktamar Tahunan Pas kali ke-68 di sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Jamil Khir Baharom yang menafikan ada menerima jemputan daripada Pas untuk menghadiri muktamar tahunan parti itu yang bermula semalam.

Takiyuddin berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah sekiranya mereka memilih untuk tidak hadir kerana jemputan itu adalah gambaran keterbukaan Pas.

Related posts

Leave a Comment