Tok Mat ke Rembau, KJ cari kawasan baharu

KUALA LUMPUR 4 Sept. – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mengesahkan tidak akan bertanding di Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi memberi laluan kepada Ketua UMNO bahagian itu, Mohamad Hasan.

Keputusan itu dibuat selepas beliau diarah mengosongkan kerusi itu oleh Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), yang mahu bertanding di Parlimen Rembau, selain mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Khairy mengakui terpaksa akur dengan arahan itu walaupun tidak pernah bersedia untuk bertanding di mana-mana kawasan Parlimen lain, memandangkan sudah lebih 20 tahun berpolitik di Rembau.

“Dia (Mohamad) dah maklum untuk saya pergi ke tempat lain. Oleh kerana beliau adalah Ketua UMNO Bahagian Rembau dan saya timbalannya, jadi beliau minta saya cari tempat lain sebab dia kata dia nak bertanding di Rembau.

Saya tidak ada halangan sebab beliau Ketua Bahagian dan dia telah minta saya beri laluan kepada dia. Jadi, saya kena beri laluanlah,” katanya pada sidang media Majlis Perasmian Penutupan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2022 di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan Mohamad mengumumkan hasrat untuk bertanding kerusi Parlimen pada PRU-15 tetapi tidak menyatakan kawasan berkenaan dan pada masa sama, akan mempertahankan kerusi DUN Rantau.

Ditanya kerusi Parlimen yang mungkin ditandingi pada PRU15, penyandang kerusi Parlimen Rembau sejak 2008 itu berkata beliau tidak mempunyai persediaan atau idea untuk mencuba nasib di mana-mana kawasan Parlimen lain setakat ini.

“Saya tidak tahu kawasan lain. Saya berpolitik di Rembau lebih 20 tahun dan hampir 15 tahun saya jadi Ahli Parlimen Rembau. Sekarang saya kena berusaha sekiranya ada kawasan yang sanggup menerima saya. Atau senario terburuk, saya tidak bertanding tapi tiada masalah bagi saya,” katanya.

Sebagai orang parti, bekas Ketua Pemuda UMNO itu berkata beliau akan mengikut apa sahaja keputusan pucuk pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) berhubung calon PRU15 dan kerusi yang perlu ditandinginya.

Related posts

Leave a Comment