Majlis Syura Pas bincang logo PRU

ALOR SETAR 4 Sept. – Majlis Syura Ulama Pas akan memperincikan penggunaan logo untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi setiap negeri sebelum diputuskan pada mesyuarat bersama pimpinan Perikatan Nasional (PN) minggu depan.

Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pihaknya turut memperincikan usul daripada beberapa negeri untuk menggunakan logo Pas sebelum perkara itu dimuktamadkan.

“Selepas usul berkenaan diangkat sebagai keputusan parti, perkara itu akan dicadangkan pada mesyuarat majlis pimpinan tertinggi PN untuk dipertimbangkan.

“Ada satu usul kita terima tanpa bahas, namun disebabkan ia berkaitan keputusan parti yang kita perlu bawa ke Majlis Syura, kita ambil keputusan untuk usul berkenaan diangkat ke pentadbiran parti yang tak perlu dibahas, sebab perlu dapatkan keputusan Majlis Syura,” katanya pada Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-68 di Kompleks PAS Kedah, di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, secara asasnya Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin dilihat berlapang dada untuk mendengar pandangan mengenai usul penggunaan logo di negeri berkenaan untuk bersama-sama diputuskan pada mesyuarat itu nanti.

Pas Selangor menjadi negeri keempat memutuskan mahu bertanding menggunakan logo parti itu pada PRU-15 selepas Kelantan, Terengganu dan Kedah bercadang menggunakan logo parti itu di negeri masing-masing pada PRU-15.

Related posts

Leave a Comment