KULAI 28 Okt. – Hampir separuh rakyat negara ini sukar menyediakan RM1,000 bagi tujuan kecemasan manakala ramai yang terpaksa berhutang apabila memerlukan wang ketika menghadapi kecemasan.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Abdul Rasheed Ghaffour berkata rakyat Malaysia masih bersikap ‘jangka pendek’ dalam pengurusan kewangan dan kurang endah dalam menguruskan risiko kewangan masing-masing termasuk menghadapi situasi tidak dijangka.
Katanya, daripada Kajiselidik Rangkuman dan Keupayaan Kewangan yang diadakan setiap tiga tahun, sejak 2015 juga mendapati satu daripada tiga rakyat negara ini tidak berminat mengambil tahu mengenai insurans dan takaful.
“Alhamdulillah, kaji selidik ini telah menunjukkan peningkatan yang konsisten dalam tahap pengetahuan kewangan rakyat Malaysia sejak tahun 2015.
“Bagaimanapun, apa yang membimbangkan ialah peningkatan pengetahuan dalam kalangan rakyat Malaysia masih tidak seiring dengan sikap dan amalan pengurusan kewangan mereka.
“Statistik Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) pula menunjukkan ramai yang terpaksa berhutang apabila memerlukan wang di waktu menghadapi kecemasan,” katanya ketika merasmikan Karnival Celik Kewangan Johor di Aeon Mall Kulaijaya, di sini, hari ini.
Karnival Celik Kewangan Johor ini adalah antara iltizam BNM dan rakan Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) untuk meningkatkan tahap celik kewangan rakyat Malaysia agar dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan lebih baik.
Ia adalah acara kemuncak Bulan Literasi Kewangan (FLM) 2023 yang diadakan sepanjang Oktober. FEN setakat ini sudah mengunjungi lebih 50 lokasi di seluruh negara ketika FLM 2023.
Abdul Rasheed berkata kajian itu juga menunjukkan satu daripada tiga rakyat Malaysia merasa terbeban dengan hutang, walaupun kebanyakan mereka tergolong dalam kalangan mempunyai pendapatan berpatutan.
Katanya, apabila didalami perkara ini ramai yang bergelut dengan masalah kewangan akibat pengurusan kewangan yang lemah sejak usia muda.
“Kaji selidik yang dijalankan juga menunjukkan 37 peratus daripada rakyat Malaysia berkongsi kata laluan dan nombor pin mereka kepada keluarga dan rakan,” katanya.
Abdul Rasheed berkata seiring dengan perkembangan zaman digital dan cabaran kehidupan masa kini yang semakin kompleks, pengguna kewangan berdepan dengan pelbagai cabaran.
Katanya, terdapat empat cabaran ketika ini iaitu memahami pelbagai produk kewangan yang tersedia ada hari ini seperti perbankan digital, insurans/takaful, pelaburan dan aset digital selain pengguna kewangan sering menghadapi kesukaran dalam mengendali dan mengurangkan hutang mereka.
“Cabaran ketiga ialah untuk membuat pelaburan yang bijak. Dalam usaha untuk mencapai matlamat kewangan, pengguna kewangan perlu memilih pelaburan yang sesuai,” katanya.
Dalam hal ini, aspek perancangan persaraan juga perlu diberi penekanan memandangkan Malaysia akan menjadi negara berdemografi usia emas menjelang 2050, dengan 15 peratus daripada rakyatnya dijangka berumur 65 tahun dan ke atas.
“Cabaran keempat dan sangat penting pada masa ini ialah untuk melindungi diri daripada penipuan dan gangguan siber,” katanya.
@ Abdul Rasheed (dua dari kanan) ketika melawat booth BSN sempena Karnival Celik Kewangan Johor di Aeon Mall Kulaijaya. (Foto: BSN Malaysia)
