UMNO Kedah tidak dapat jemputan

ALOR SETAR 3 Sept. – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Jamil Khir Baharom menjelaskan bahawa UMNO negeri tidak menerima sebarang undangan atau jemputan untuk menghadiri Muktamar Tahunan Pas ke-68 hari ini.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, isu ini perlu dijelaskan dengan sejelas-jelasnya supaya tidak wujud persepsi buruk terhadap UMNO.

“Seperti yang dilaporkan oleh media, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah menyatakan bahawa kononnya pihak Pas telah menjemput kepimpinan UMNO, termasuk UMNO Kedah, untuk hadir ke Majlis Muktamar Tahunan Pas 2022 yang ke-68, namun menurutnya tiada respon.

Kenyataan ini sebenarnya adalah tidak benar dan dikhuatiri akan mengelirukan pembaca di luar sana,” jelasnya menerusi satu kenyataan di Facebook miliknya petang ini.

Beliau turut berharap penjelasan yang diberikan dapat mengelakkan sebarang kekeliruan yang mungkin timbul dalam kalangan pembaca.

Terdahulu, Takiyuddin mengesahkan tiada seorang wakil daripada parti UMNO sama ada di peringkat negeri ataupun pusat, hadir dalam Majlis Perasmian dan Ucapan Dasar Presiden sempena Muktamar Tahunan Pas kali ke-68 yang diadakan di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut di sini hari ini.

Beliau turut menyatakan bahawa jemputan yang dihantar kepada wakil parti berkenaan turut tidak mendapat sebarang maklum balas serta jawapan.

Pas juga telah menjemput bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad bagi mewakili gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) yang ditubuhkan namun pemimpin itu juga tidak hadir pada Muktamar kali ini.

Related posts

Leave a Comment