Covid-19 : Menuju kes harian 24,000

PUTRAJAYA 28 Julai – Lonjakan kes Covid-19 berlaku pada 25 Julai lalu apabila merekodkan 17,045 kes berbanding hari sebelumnya, 24 Julai sebanyak 15,902.

Bagaimanapun angka itu turun kepada 14,516 pada 26 Julai dan naik semula kepada 16,117 semalam.

Hari ini, jumlah kes naik semula kepada angka 17 iaitu 17,405. Ini bermakna dalam tempoh empat hari ini, jumlah kenaikan harian melebihi 1,100 hingga 1,600 kes.

Jika trend ini berterusan, maka tidak hairanlah Malaysia akan mencapai tahap kemuncak 24,000 kes positif sehari pada pertengahan September seperti yang pernah dijangkakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Mungkin jumlah itu akan dicapai lebih awal, lebih-lebih lagi dengan kehadiran viran

Delta yang lebih pantas merebak.

Menurut Dr Noor Hisham, jangkaan lonjakan kes berdasarkan  unjuran, kadar kebolehjangkitan (RT) pada ketika itu adalah 1.2. Dan hari ini kadar itu sering menunjukkan kenaikan. Hari ini 1.14.

Sehingga hari ini, jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 1,061,476 manakala

kes pesakit Covid-19 sembuh yang dicatatkan hari ini juga tertinggi iaitu 12,373 kes, dengan jumlah kes keseluruhan sembuh mencecah 877,812.

Sebanyak 17,399 kes membabitkan penularan tempatan manakala enam lagi adalah kes import.

“KKM juga merekodkan sebanyak 143 kematian berkaitan jangkitan Covid-19, menjadikan jumlah kematian kini sebanyak 8,551 kes.

“Selain itu, sebanyak 1,016 kes ini dirawat di Unit Rawatan Rapai (ICU) dengan 529 memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Daripada 17,405 kes harian hari ini, sebanyak 374 kes (2.1 peratus) adalah daripada kategori 3, 4 dan 5.

Manakala, sebanyak 17,031 kes (97.9 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2. Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa Covid-19. Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.

Secara keseluruhan, hanya 2,032 kes (11.7 peratus) daripada jumlah kes pada hari ini mempunyai sejarah vaksinasi Covid-19.

Mengenai kes 143 kematian hari ini, sebanyak 41 kes berlaku di Selangor, 21 di Negeri Sembilan, 17 di Johor, 14 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 11 di Perak, 10 di Kedah, sembilan  di Sabah, tujuh di Melaka, masing-masing lima kes di Pulau Pinang dan Kelantan, serta tiga di Pahang.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, melalui kajian berterusan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), pihaknya mengenalpasti sebanyak 10 kes varian Delta (B.1.617.2) antara 22 Julai lalu hingga hari ini.

Beliau berkata, penemuan itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai varian membimbangkan (VOC) dan varian berkepentingan (VOI) adalah sebanyak 439 kes.

“Daripada jumlah yang dikesan itu, 419 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI.

“Secara keseluruhan, sehingga kini, bagi VOC terdapat sebanyak 206 kes varian Beta, 199 kes varian Delta dan 14 kes varian Alpha manakala bagi VOI terdapat 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa, dan tiga kes varian Eta,” katanya.

Related posts

Leave a Comment