Runding secara ‘terang’ bukan dalam ‘gelap’

SEREMBAN 3 Sept. – Tiada arahan daripada Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mengadakan rundingan dengan Pas melalui Muafakat Nasional (MN) berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan berkata, semua perkara berkaitan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perundingan dan Pengarah Pilihan Raya UMNO, berkata apa saja perbincangan berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) perlu dibuat secara terang dan bukannya berunding dalam ‘gelap’.

Justeru beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perundingan dan Pengarah Pilihan Raya UMNO, mengingatkan pemimpin Pas supaya menjaga parti sendiri dan tidak cuba mengadu-domba parti orang lain.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, berkata

setakat ini tiada sebarang arahan untuk mengadakan rundingan berkaitan PRU-15 atau kerusi.

“Jagalah parti sendiri, saya jaga parti saya, apa saja perbincangan perlu dibuat secara terang dan bukan runding dalam gelap,”  katanya.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang bahawa tindakan Ahmad Zahid tidak mewakili keseluruhan parti UMNO.

Abdul Hadi dalam sidang media selepas perasmian Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah di Alor Setar, dilaporkan berkata rundingan antara UMNO dan Pas ketika ini masih berjalan membabitkan pimpinan kedua-dua parti hingga ke peringkat akar umbi.

Ahli Parlimen Marang itu mendakwa, UMNO bukan hanya diwakili oleh presiden parti itu, tetapi membabitkan sebuah organisasi.

Mengulas mengenai kenyataan Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin bahawa Pas tidak terdesak untuk bekerjasama dengan UMNO dalam menghadapi PRU-15, Mohamad berkata, Barisan Nasional (BN) dan UMNO sudah membuat keputusan awal untuk bergerak solo.

Tindakan itu terbukti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor apabila BN bertanding secara solo.

“Di Melaka dan Johor kita bergerak solo, bahkan di Sabah pun kita bergerak solo, apa saja tanggapan orang lain itu hal mereka.

“Tetapi, kita sudah buat keputusan dalam PRU-15 kita akan menghadapinya secara solo, selepas pilihan raya itu cerita lain (untuk tubuh kerajaan),” katanya.

Related posts

Leave a Comment