Simpan terus tablet PerantiSiswa

SHAH ALAM 3 Sept. – Kerajaan bersetuju untuk memberi terus tablet berjenama terkenal kepada semua penerima Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia, kata Perdana Menteri Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Beliau berkata, pemberian peranti itu sebagai penghargaan, sekali gus menjadi pemangkin untuk penerimanya belajar bersungguh-sungguh sehingga meraih keputusan cemerlang.

“Umum mengetahui bahawa Inisiatif PerantiSiswa diberikan secara Konsep Guna Pakai (KGP) di mana mahasiswa perlu menyerahkan semula peranti itu setelah tamat pengajian.

“Namun, atas maklum balas memberangsangkan ketika sesi pertemuan antara Menteri Komunikasi dan Multimedia bersama wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) pada 15 Ogos lalu, terdapat cadangan supaya ia diberi terus kepada mahasiswa yang mendapat keputusan cemerlang

Jadi, pelajar tidak perlu pinjam, tidak perlu pulangkan balik tetapi kerajaan akan bagi terus,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa; Menteri Pengajian Tinggi, Dr Noraini Ahmad; serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi,  Noh Omar.

Fasa pertama Inisiatif PerantiSiswa terbuka kepada warganegara Malaysia kategori keluarga B40, iaitu pendapatan isi rumah RM4,850 dan ke bawah; sedang mengikuti pengajian sepenuh masa pada peringkat diploma, diploma lanjutan atau ijazah sarjana muda; serta tidak pernah menerima bantuan peranti daripada mana-mana program bawah kerajaan.

Bagi fasa kedua pula, ia turut dibuka kepada pelajar sedang mengikuti program asasi serta matrikulasi di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), Tingkatan 6 dan program diploma vokasional, dengan permohonan dibuka hingga 30 September ini.

Ismail Sabri berkata, bagi memastikan proses pengajian pelajar B40 terus terpelihara, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM450 juta melalui Bajet 2022 bagi melaksanakan Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia.

Katanya, majoriti pelajar yang menggunakan teknologi dalam urusan pembelajaran harian, menerima kesan positif dalam pembelajaran dan dapat menambah ilmu pengetahuan tanpa sempadan.

“Namun, terdapat pelajar yang kurang berkemampuan, adakala perlu meminjam peranti rakan atau terpaksa pergi ke pusat Internet di bandar semata-mata untuk menghadiri kelas dalam talian mahupun membuat tugasan pengajian.

“Menerusi inisiatif ini, pelajar B40 akan menerima sebuah peranti berbentuk tablet yang boleh dimanfaatkan sepanjang proses pembelajaran sehinggalah mereka menamatkan pengajian nanti,” katanya.

Ismail Sabri juga memaklumkan, kerajaan juga bersetuju memanjangkan tempoh pendaftaran Pakej Remaja Keluarga Malaysia, bagi memastikan lebih ramai pelajar dan remaja memperoleh akses Internet untuk pembelajaran dalam talian di rumah tanpa kekangan data.

“Pada asalnya, pakej prabayar mampu milik khusus untuk golongan remaja serta pelajar, termasuk penuntut pascasiswazah ini diperkenalkan mulai Oktober 2021 dan dijadualkan tamat pada Oktober tahun ini.

“Justeru, keputusan memanjangkan tempoh ini diharap memberi peluang kepada lebih ramai remaja dan pelajar untuk melanggan Pakej Remaja Keluarga Malaysia yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan mudah alih,” katanya.

Related posts

Leave a Comment