Pas tolak kerjasama perkara mungkar

ALOR SETAR 3 Sept. – Pas sedia berbincang dengan semua pihak yang menunjukkan tanda keikhlasan untuk mencari jalan penyelesaian supaya kembali kepada Islam, kata Presidennya Abdul Hadi Awang.

“Hal ini penting bagi mengatasi masalah umat yang besar, bukan sekadar agenda politik yang sempit, jangka masa pendek dan tidak beristiqamah bersama Islam,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan Pas Ke-69, di Kompleks Pas Kedah di sini, hari ini.

Bagaimanapun Abdul Hadi menegaskan tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dalam perkara dosa seperti meneruskan permusuhan serta kemungkaran.

Katanya, Pas tidak boleh memejamkan mata terhadap kemungkaran seperti rasuah, politik wang, politik mahu jawatan, salah laku dan salah urus kerana meraikan kemungkaran semata-mata menjaga hati dan kepentingan yang salah sehingga meninggalkan prinsip.

Sehubungan itu, beliau berkata, Pas menolak sesiapa sahaja yang mengambil pendekatan yang terpesong daripada konsep ta’awun yang berlandaskan petunjuk al-Quran.

Ahli Parlimen Marang itu menjelaskan, kerjasama dalam perpaduan mempunyai sempadan dan hanya dalam perkara kebaikan serta takwa berlandaskan tali Allah (Islam) yang menegakkan keadilan, melakukan kebajikan dan meninggalkan yang salah.

Katanya, disebabkan itu jika seseorang itu berdosa dan insaf, dibuka pintu taubat dan pengampunan ke atasnya.

Beliau berkata, perpecahan dalam kalangan parti Melayu menyebabkan umat menjadi lemah sehingga kehilangan kuasa politik bagi memerintah negara.

Justeru kata Abdul Hadi, Pas bertanggungjawab mengajak perpaduan umat untuk melakukan Islah atau pembaharuan daripada kesilapan kerajaan terdahulu dan berusaha menyatukan parti Melayu Islam.

Katanya, Pas juga mahu menyatukan kalangan bukan Islam yang tidak esktrem bagi membentuk sebuah negara masyarkat majmuk yang sejahtera pada masa hadapan.

Sepanjang ucapan itu Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang tidak menyentuh secara langsung isu kerjasama parti itu dalam Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO.

Related posts

Leave a Comment