Sumpah bai’ah Pas lebih berkesan

ALOR SETAR 3 Sept. – Sumpah bai’ah yang dilafazkan setiap pemimpin Pas yang menjadi calon dalam pilihan raya, lebih berkesan berbanding Rang Undang-undang (RUU) berkaitan larangan lompat parti yang diluluskan di Dewan Rakyat sebelum ini.

Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, berkata ini kerana lafaz sumpah dan bai’ah yang diwajibkan melalui Perlembagaan Pas mengatasi segala undang-undang bagi memelihara integriti.

“Langkah ini lebih berkesan daripada undang undang berkaitan larangan lompat parti yang baru sahaja diperkenalkan,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan Pas Ke-69 di Kompleks Pas Kedah di sini, hari ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, berkata Pas sepatutnya diberi lebih kepercayaan dengan adanya ikatan bai’ah yang lebih hebat daripada undang-undang kini yang luput tarikhnya.

“Sesiapa yang tidak memelihara integriti pasti akan melompat sendiri kerana mereka kepanasan walaupun berada dalam bilik berhawa dingin atau dipecat dengan tindakan disiplin.

Parti tidak rosak, terus maju dan subur berkembang dan sentiasa menambah ahli, kawasan, cawangan serta penyokongnya.

“Pas membuktikan pelaksanaannya di negeri yang diperintah di Kelantan, Terengganu dan Kedah, serta melalui beberapa kementerian yang ditugaskan walaupun dengan bidang kuasa yang terbatas,” katanya.

Untuk rekod, selepas PRU-13 sekurang-kurang 12 wakil rakyat Pas keluar daripada parti itu termasuk menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) yang diketuai Mohamad Sabu.

Dewan Rakyat pada 28 Julai lalu meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti, dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga.

RUU digubal berasaskan lapan parameter utama itu diluluskan menerusi undi belah bahagian selepas dibentangkan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, sejarah dunia membuktikan sumber harta dan tenaga manusia tanpa pembangunan insan yang menyeluruh berteraskan akidah dan takwa, tidak akan mampu membawa kesejahteraan di alam dunia dan akhirat.

“Keadaan ini dialami Malaysia yang mencapai kemerdekaan lebih setengah abad dan pernah membawa slogan Wawasan 2020.

“Situasi ini berlaku dalam keadaan kita mempunyai sumber hasil bumi dan tenaga manusia daripada berbagai kaum yang sepatutnya dapat dimanfaatkan.

“Apa yang berlaku bantuan kepada rakyat tidak sampai kepada sasaran, sehingga ia laksana mencurah garam ke laut. Mengapa peruntukan yang besar berlaku kebocoran? Ini menunjukkan ada perkara yang salah dan wujud kelemahannya,” katanya.

Related posts

Leave a Comment