Padang Terap kawasan industri baharu

PADANG TERAP 2 Sept. – Pembangunan Bandar Getah Kedah (KRC), akan menjadikan Padang Terap kawasan industri baharu dan daerah termaju di Kedah, yang dapat meningkatkan perdagangan dengan negara jiran.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, berkata, Padang Terap akan dijadikan bandar sempadan utama negara, sekali gus menyumbang kepada perdagangan Malaysia-Thailand.

Katanya, dengan pembangunan itu juga ia akan turut menawarkan 6,000 peluang pekerjaan kepada penduduk.

“Ketika melancarkan KRC pada Februari lalu, saya percaya Padang Terap bakal menjadi daerah maju dalam tempoh masa terdekat kerana potensi dalam industri getah yang dibangunkan Malaysia dan Thailand.

Nilai dagangan Malaysia-Thailand kini mencecah RM103 bilion dengan lebih RM44 bilion disumbang aktiviti perdagangan di kawasan sempadan.

“Disebabkan itu, adalah penting daerah bersempadanan Malaysia-Thailand terus dibangunkan selaras hasrat kerajaan meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian ketika berucap pada Majlis `Kenuri’ Rakyat Keluarga Malaysia, yang turut dihadiri kira-kira 15,000 penduduk Padang Terap di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Nerang, di sini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar,  Mahdzir Khalid; Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Shahidan Kassim dan Exco Kerja Raya negeri, mewakili Menteri Besar Kedah, Suraya Yaacob.

Kerajaan juga bersetuju membuka Pusat Kecemerlangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di KRC, membabitkan kos RM15 juta, bagi melatih anak tempatan mendalami industri getah sebelum mendapat peluang bekerja di KRC.

Pada masa sama, Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Durian Burung di daerah ini juga akan dinaik taraf dengan jalan empat lorong menghubungkan Pokok Sena-Durian Burung.

Related posts

Leave a Comment