Azalina masih Penasihat Khas PM

KUALA LUMPUR 31 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Azalina Othman Said menjelaskan beliau masih Penasihat Khas Perdana Menteri (Undang-undang dan Hak Asasi Manusia).

“Saya ingin mengesahkan bahawa setakat 31 Ogos 2022, saya masih berkhidmat sebagai Penasihat Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia,” tulisnya sambil mengucapkan Selamat Hari Merdeka ke-65.

Ahli Parlimen Pengerang itu yang menjadi tumpuan selepas didakwa seperti menyindir Ismail Sabri Yaakob berkaitan isu pelantikan Peguam Negara (AG) menyatakan demikian dalam hantaran ringkas di Facebooknya, hari ini.

Semalam, tular di media sosial mendakwa bekas Ketua Puteri UMNO itu meletak jawatan penasihat khas kepada Perdana Menteri, dipercayai ada kaitan isu kritikan ke atas badan kehakiman.

Azalina dilantik ke jawatan itu pada 2 Oktober 2021, selepas meletak jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 23 Ogos sebelum itu.

Pada taklimat khas Presiden UMNO Sabtu lalu, Ketua UMNO Bahagian Pengerang itu menyampaikan ucapan penuh bersemangat berkaitan pelantikan AG dengan antara petikan mencetuskan kontroversi adalah ‘takkan nak tukar AG pun tak boleh’.

Berikutan itu, beliau menerima kritikan pelbagai pihak, termasuk dari dalam kalangan pimpinan UMNO sendiri, apatah lagi daripada pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ada kaitan politik.

Antara kandungan ucapan Azalina yang menarik perhatian dan mendapat tafsiran negatif adalah apabila beliau mempersoalkan mengapa Perdana Menteri tidak melantik ‘orang dia’ untuk mudahkan segala urusan.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, hadirin taklimat khas itu yang dianjur bagi menunjukkan solidariti kepada Datuk Seri Najib yang kini dipenjara, menjerit ‘Ismail Sabri perlu tukar AG’.

Azalina kemudiannya tampil memberi penjelasan bahawa kenyataannya sama dengan apa pernah dilakukan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

Tegasnya, saranan supaya Perdana Menteri memilih ‘orang dia’ sebagai Peguam Negara juga selari dengan agenda reformasi sistem pentadbiran negara, yang diperjuangkan pelbagai pihak.

Menurut Azalina, ucapannya sekitar 10 minit dalam perjumpaan politik UMNO itu hanya membangkitkan mengenai hak seorang rakyat Malaysia untuk merayu serta mengemukakan bukti baharu di mahkamah.

Related posts

Leave a Comment