HYDERABAD – India menafikan laporan media yang mendakwa kerajaannya merancang mengenakan cukai ke atas perjalanan ke luar negara.
Perdana Menteri, Narendra Modi menerusi hantaran di platform X ketika menafikan laporan itu menegaskan ia tidak benar sama sekali.
CNBC TV-18 sebelum ini, memetik sumber menyatakan satu cadangan sedang dibincangkan di peringkat tertinggi untuk mengenakan cukai atau surcaj ke atas perjalanan ke luar negara, namun tiada keputusan muktamad dibuat setakat ini.
“Tidak timbul soal mengenakan sekatan seperti itu terhadap perjalanan ke luar negara,” kata Modi sambil memetik laporan berkenaan dalam hantaran beliau.
Modi dalam ucapan pada 10 Mei lalu, menggesa rakyat India berjimat dalam penggunaan bahan api serta mengelakkan pembelian emas dan perjalanan ke luar negara bagi menjimatkan pertukaran asing susulan kesan buruk konflik Asia Barat terhadap ekonomi negara itu.
Kerajaan India pada Rabu menaikkan cukai import emas dan perak daripada enam peratus kepada 15 peratus.
Syarikat minyak milik kerajaan India pula pada Jumaat menaikkan harga runcit petrol dan diesel sebanyak tiga rupee seliter, atau lebih tiga peratus bagi mengimbangi sebahagian kesan kenaikan kos import minyak mentah.
