Kes harian turun bawah 2,000

PUTRAJAYA 30 Ogos – Kes jangkitan harian Covid-19 di negara ini menunjukkan penurunan dengan mencatatkan bawah 2,000 iaitu sebanyak 1,946 semalam, berbanding 2,191 kes kelmarin.

Menerusi laman sesawang COVIDNOW, kes baharu itu membabitkan 1,945 kes penularan tempatan dan satu kes impor menjadikan sehingga kini jumlah keseluruhan angka jangkitan di negara ini meningkat kepada 4,778,140 kes.

Sehingga kini, negara masih mempunyai 31,568 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 dan daripada jumlah itu, 95.5 peratus atau 30,163 kes sedang menjalani kuarantin wajib di rumah.

Selain itu sebanyak 4.2 peratus bersamaan 1,312 kes sedang mendapatkan rawatan lanjut di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) (18), unit rawatan rapi (75) dengan 50 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Setakat semalam, kadar penggunaan ICU secara keseluruhannya berada di tahap 64.7 peratus, bagaimanapun untuk kegunaan pesakit Covid-19 sahaja ia berada di paras 20.1 peratus.

Mengenai kes kematian di negara ini akibat penularan Covid-19, setakat semalam terdapat lapan kematian dilaporkan menjadikan angka korban di negara ini meningkat kepada 36,206 kes.

Bagi kes sembuh, terdapat sejumlah 3,271 kes dilaporkan semalam, ia menjadikan jumlah kes pulih di negara ini adalah sebanyak 4,710,366 kes.

Related posts

Leave a Comment