Keperluan kurang gaji penjawat awam

SEOUL 30 Ogos – Terdapat keperluan untuk mengurangkan gaji penjawat awam bagi menangani inflasi di Korea Selatan sementara firma swasta pula digesa mengelak menaikkan gaji secara berlebihan.

Perdana Menteri, Han Duck-soo, berkata penjawat awam harus membenarkan gaji mereka dipotong untuk mengukuhkan dasar fiskal.

Bercakap pada persidangan di Parlimen, beliau berkata “Setiap orang perlu mengorbankan bahagian mereka” apabila kadar inflasi yang melambung tinggi datang dari kedua-dua bahagian penawaran dan permintaan.

Menteri Kewangan Choo Kyung-ho pula menggesa firma swasta untuk mengelakkan daripada menaikkan gaji secara berlebihan dan memberi amaran bahawa kenaikan gaji sedemikian boleh mencetuskan inflasi.

Berhubung kenyataan Kyung-ho itu, Duck-soo berkata kerajaan berada dalam ‘kedudukan sukar’ dan meminta firma swasta menyertai langkah mengurangkan inflasi.

Menurut data kerajaan, harga pengguna meningkat pada kadar terpantas dalam tempoh hampir 24 tahun pada Julai disebabkan harga tenaga dan makanan yang tinggi.

Harga pengguna melonjak 6.3 peratus bulan lepas berbanding tahun sebelumnya, meningkat daripada enam peratus pada Jun.

Related posts

Leave a Comment