DUN 3 negeri kekal sebelum Mac

KUALA LUMPUR 30 Ogos – Kerajaan Pas yang menerajui Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal daripada Mac tahun depan, kata Setiausaha Agung parti itu, Takiyuddin Hassan.

Keputusan itu adalah hasil Mesyuarat Jawatankuasa Harian yang diadakan semalam dan akan turut diberikan tumpuan semasa Muktamar Tahunan Pas Ke-68 yang akan diadakan di Alor Setar, Kedah pada 3 hingga 4 September ini.

“Keputusan itu atas dasar buat masa ini penumpuan yang lebih perlu diberikan kepada aspek pemulihan dalam kehidupan rakyat terutama di bidang perekonomian selain kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengenai pendirian politik Pas dalam mengharungi PRU-15, Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli, berkata parti tetap mengutamakan konsep penyatuan ummah dan perpaduan nasional dalam setiap langkah dan pendirian politiknya.

“Pas amat optimis pendekatan penyatuan ummah itu boleh dicapai melalui kolaborasi parti utama di negara ini. Kolaborasi itu membabitkan parti berteraskan konsep perpaduan Melayu-Islam dan Bumiputera.

“Ini kerana ia adalah formula paling berkesan serta diterima oleh majoriti rakyat Malaysia,” katanya mengulangi penegasan bahawa Pas tidak akan menjalin sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) mahupun mana-mana parti komponennya dalam menghadapi PRU-15.

Tegasnya, tiada kerjasama akan dijalin dengan PH atau parti komponen dalam gabungan itu, termasuk melalui cadangan konsep ‘khemah besar’.

“Pas ambil pendekatan bersikap terbuka dalam mencari formula terbaik bagi mewujudkan kerjasama politik dengan mana-mana pihak yang mengutamakan perpaduan serta keharmonian dalam menghadapi PRU15 demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment