19 isu penting dikenal pasti

KUCHING 29 Ogos – Laporan akhir pasukan petugas khas siasatan terhadap dakwaan dalam buku “My Story: Justice in the Wilderness” mengenal pasti 19 isu penting daripada buku itu yang memerlukan perhatian lanjut pihak kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata laporan berkaitan buku tulisan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas itu akan dibentangkan kepada jemaah Menteri tidak lama lagi.

Beliau berkata, pasukan petugas khas itu yang dipengerusikan oleh Penasihat Undang-undang Kerajaan Sarawak, Fong Joo Chung ditubuhkan bagi membuat kajian awal berhubung dakwaan yang ditulis dalam buku itu.

Ini termasuk isu pelantikan hakim, campur tangan melampau badan eksekutif dalam sistem kehakiman dan pendakwaan terpilih.

Buku “My Story: Justice in the Wilderness”, sebelum ini mengundang kemarahan dan rasa tidak puas hati pelbagai pihak kerana disifatkan bertentangan dan melanggar sumpah jawatan.

Selain itu, buku itu turut menyentuh mengenai peristiwa 13 Mei 1969, yang didakwa ditulis dengan tidak bertanggungjawab tanpa mengira sensitiviti masyarakat, selain tuduhan yang bertujuan merendahkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein.

Wan Junaidi dalam kenyataannya berkata, pasukan petugas khas siasatan itu membentang dan menyerahkan laporan akhir kepadanya, hari ini.

“Laporan itu disediakan oleh pasukan petugas khas dalam tempoh sembilan bulan iaitu mulai Disember 2021 hingga Ogos 2022.

“Satu laporan interim sudah dibentangkan kepada Jawatankuasa Pemantauan pada 18 April 2022 dan laporan akhir ini disediakan melalui hasil penelitian dokumen serta sesi konsultasi dengan pihak berkaitan,” katanya.

Wan Junaidi berkata, sebanyak 19 sesi konsultasi dengan pelbagai pihak berkepentingan, yang terdiri daripada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan individu dijalankan sepanjang tempoh menyiapkan laporan berkenaan.

Sebelum ini, Wan Junaidi dilaporkan berkata, pasukan petugas khas itu dipengerusikan Joo Chung, dengan keahlian terdiri daripada bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Hashim Paijan dan bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat merangkap bekas Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Dr Junaidah Kamaruddin.

Ahli lain adalah bekas Hakim dan Peguam Kanan Persekutuan, Jabatan Peguam Negara, Jagjit Singh; peguam, Shaharudin Ali dan K Balaguru.

Turut serta wakil daripada kementerian dan jabatan yang berkepentingan seperti Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO).

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara (AGC) pula bertindak sebagai urus setia jawatankuasa berkenaan.

Related posts

Leave a Comment