Pendakwaan terpilih bermotif politik?

KUALA LUMPUR 29 Ogos – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi, Pakatan Harapan (PH) melakukan pendakwaan terpilih yang bermotifkan politik terhadap dirinya dan lebih 20 ahli politik Barisan Nasional (BN) yang lain selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ketika membela diri terhadap 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, Ahmad Zahid berkata beliau menyedari pada 9 Mei 2018 iaitu apabila BN gagal membentuk kerajaan, beliau dan pemimpin lain didakwa di mahkamah atas kes jenayah.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO juga mendakwa pada masa sama, seramai 15 orang pemimpin daripada PH yang mengambil alih kerajaan pula ditarik balik pendakwaan terhadap mereka.

Mereka termasuk Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa dan bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli manakala parti yang kalah iaitu saya, Najib Razak, Ahmad Maslan (Setiausaha Agung) dan Tengku Adnan Tengku Mansor (Bendahari) serta kira-kira 18 lagi pemimpin diheret dan dituduh di mahkamah.

“Kalau ini bukan pertuduhan politik saya tidak tahu apakah lagi? Ini saya anggap dan mengikut persepsi umum adalah pertuduhan politik dan pendakwaan terpilih.

“Apa yang saya ingin sebut di sini ialah keyakinan kami kepada mahkamah adalah mahkamah yang adil dan keyakinan kami kepada sistem perundangan adalah sistem perundangan yang betul,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, kertas laporan dalam siasatan sepatutnya mengutamakan untuk menyiasat isu yang merosakkan sistem keadilan dan bukannya dijadikan sebagai satu langkah untuk membalas dendam.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diperiksa semula oleh peguam belanya, Ahmad Zaidi Zainal, ketika membela diri terhadap 47 pertuduhan, iaitu 12 kes pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Beliau turut menyatakan, laporan kepada SPRM dibuat selepas PRU14 iaitu selepas kekalahan BN dan mendakwa menjadi mangsa pendakwaan bermotif politik kerana jawapan hasil daripada siasatan dijadikan asas kepada intipati pertuduhan.

Perbicaraan didengar di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Related posts

Leave a Comment