Lebih 100,000 bantah pengampunan

KUALA LUMPUR 28 Ogos – Beberapa petisyen berkaitan pengampunan bekas Perdana Menteri, Najib Razak, yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kini muncul di laman sesawang Change.org.

Dua daripada petisyen itu menuntut pengampunan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke atas Najib, manakala satu lagi diwujudkan agar Ahli Parlimen Pekan itu tidak wajar diampunkan.

Petisyen kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong: Najib Tidak Wajar Diampunkan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan dan Adil (BERSIH) sehingga pukul 3 petang ini berjaya mengumpulkan 109,097 tandatangan.

Daripada petisyen diwujudkan itu, mereka menjangkakan 150,000 tandatangan dapat dikumpulkan untuk memastikan pengampunan Najib tidak terlaksana.

Sementara itu, Petisyen kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong: Pengampunan Diraja kepada Datuk Seri Najib yang diwujudkan seorang individu pada Rabu lalu, mengumpul 6,931 tandatangan berbanding 7,500 yang disasarkan.

Satu lagi petisyen iaitu Solidariti Pengampunan Diraja Untuk Najib Razak yang diwujudkan BNComms Selangor setakat ini hanya mengumpul 337 tandatangan berbanding 500 dicadangkan.

Najib mula menjalani hukuman penjara Selasa lalu selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atasnya susulan kes pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC.

Related posts

Leave a Comment