Segerakan pembahagian kerusi

SERDANG 27 Ogos – Perikatan Nasional (PN) Perak menggesa supaya pembahagian kerusi dalam kalangan parti gabungan disegerakan supaya gerak kerja menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dapat dijalankan.

Timbalan Pengerusi PN Perak, Razman Zakaria, berkata pimpinan parti juga perlu memuktamadkan nama individu yang akan diketengahkan sebagai calon pada PRU-15, di samping memuktamadkan logo parti yang akan digunakan.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Perak berkata, langkah menyegerakan pembahagian kerusi dapat membantu parti merancang untuk mencapai kemenangan.

Razman berkata demikian ketika berucap pada  Konvensyen PN 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.

Perwakilan dari Kedah Afnan Taib pula mencadangkan pucuk pimpinan mengkaji logo parti, serta warna bendera bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengundi pada setiap kali pilihan raya.

Katanya, warna biru tua bendera ketika ini dengan tulisan Perikatan Nasional berwarna putih seakan-akan menyamai bendera Barisan Nasional (BN).

Related posts

Leave a Comment