TEHRAN – Iran melancarkan gelombang serangan peluru berpandu baharu ke atas Israel semalam, mencederakan beberapa orang di kawasan kediaman, manakala Israel mengesahkan menyerang ibu kota Tehran.
Serangan balas itu berlaku selepas Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, berikrar akan menyerang setiap sasaran di Iran, manakala Presiden Masoud Pezeshkian, memberi amaran sebarang serangan lanjut akan dibalas dengan tindak balas yang lebih dahsyat dan berkuasa.
Operasi ketenteraan Israel yang bermula awal Jumaat lalu menyasarkan sistem pertahanan udara Iran serta beberapa lokasi utama program nuklear dan ketenteraan, mengorbankan puluhan nyawa termasuk komander tentera tertinggi dan saintis atom, menurut pihak berkuasa Tehran.
Semalam, Israel memaklumkan ia sedang memintas peluru berpandu baharu dari Iran, sambil meneruskan serangan terhadap sasaran ketenteraan di Tehran.
Menurut laporan media, serangan Israel menyasarkan ibu pejabat Kementerian Pertahanan di Tehran dan merosakkan satu bangunannya, namun kementerian itu belum mengulas lanjut.
Menurut Kementerian Minyak Iran, Israel turut menyerang dua depot bahan api di Tehran dan lokasi yang terjejas ialah depot di Shahran di barat laut Tehran dan satu lagi di selatan bandar itu.
Iran kemudiannya mengumumkan pelancaran gelombang serangan baharu ke arah Israel.
Perkhidmatan kecemasan Israel pula mengesahkan sebuah peluru berpandu Iran mengenai sebuah kediaman di wilayah Haifa, mencederakan 14 orang, termasuk seorang dalam keadaan kritikal.
Duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan 78 orang terbunuh dan 320 cedera dalam gelombang serangan pertama Israel Jumaat lalu manakala Israel menyatakan tiga orang terbunuh dan 76 cedera dalam serangan dron dan peluru berpandu Iran pada malam sebelumnya.
Iran menggesa rakyatnya untuk bersatu mempertahankan negara, sementara Netanyahu mendesak rakyat Iran bangkit menentang kerajaan mereka sendiri.
Agensi berita Mehr melaporkan bahawa Tehran memberi amaran kepada Britain, Perancis dan Amerika Syarikat bahawa mereka boleh menjadi sasaran sekiranya menyokong Israel dalam konflik itu.