Keadilan tertangguh, keadilan terabai

PUTRAJAYA 25 Ogos –  Perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd membabitkan Najib Razak mengambil masa terlalu panjang (empat tahun) sehingga menyebabkan banyak kes rasuah ahli politik lain tertangguh.

Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad berkata kes berkenaan boleh disamakan dengan pepatah Inggeris “Justice delayed is justice denied’ yang diterjemahkan sebagai ‘keadilan yang tertangguh adalah keadilan yang terabai’.

“Kerana kes SRC Najib mengambil masa yang amat panjang banyaklah kes pencurian, salah guna kuasa, rasuah yang membabitkan ramai tokoh politik tertangguh dan tidak dihadapkan ke mahkamah.

“Ada penjenayah yang meninggal dunia pun. Kelewatan perbicaraan akan menghasil keadilan terabai,” katanya dalam Facebook, hari ini.

Dr. Mahathir berkata, ketika ini Najib dibicara berkenaan kes lain yang juga akan mengambil masa yang panjang dan beliau percaya hakim-hakim juga kurang senang dengan begitu banyak kes tertangguh.

“Kelewatan ini menjadi lebih buruk kerana perlakuan Najib dengan peguamnya. Bermacam alasan diguna untuk menghalang perbicaraan.

“Sekarang banyak laporan dibuat berkenaan kes rasuah yang serius yang belum dibicara. Besar kemungkinan penjenayah akan terlepas dari dihukum kerana jenayah yang dilakukan oleh mereka.

“Benarlah seperti pepatah Inggeris bahawa keadilan yang tertangguh adalah keadilan yang terabai. Bagi Najib, besar kemungkinan ia akan diampun setelah dipenjara,” katanya.

Untuk rekod, Najib ditahan Pasukan Petugas Khas 1MDB, di kediamannya di Jalan Langgak Duta, sekitar pukul 3 petang 3 Julai 2018 dan dibawa ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

Beliau kemudiannya didakwa di Mahkamah Sesyen dengan tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan menyalahgunakan kuasa dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah Rayuan pada 21 Mac 2019 menolak tiga daripada empat rayuan interlokutori Najib, benarkan permohonan tangguhkan perbicaraan dan pada 3 April 2019, perbicaraan kes berkenaan bermula selama 58 hari.

Mahkamah Tinggi kemudiannya menetapkan 28 Julai 2020 sebagai keputusan dan pada tarikh berkenaan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram dan memerintahkannya dipenjara 12 tahun dan didenda RM210 juta.

Selepas pelbagai situasi termasuk prosidingnya dijalankan secara dalam talian ketika negara dilanda pandemik Covid-19, akhirnya pada 23 Ogos lalu, Najib gagal dalam rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan bekas Perdana Menteri itu bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

Related posts

Leave a Comment