Kes harian kekal di bawah 3,000

PUTRAJAYA 25 Ogos – Kes baharu Covid-19 di negara ini kekal dalam lingkungan 3,000 kes lima hari berturut-turut dengan 2,636 kes dilaporkan hari ini berbanding 2,722 yang direkodkan kelmarin.

Menerusi laman sesawang COVIDNOW, kes harian itu membabitkan 2,631 kes penularan tempatan dengan lima lagi adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Perkembangan itu menjadikan sehingga kini jumlah jangkitan di Malaysia meningkat kepada 4,765,188 kes sejak penularan itu berlaku lebih dua tahun lalu.

Setakat ini sebanyak 34,970 kes masih aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19, dan daripada jumlah itu sebanyak 33,500 atau 95.8 peratus sedang menjalani kuarantin wajib di rumah.

Selain itu sebanyak 1,379 pesakit Covid-19 pelbagai kategori bersamaan 3.9 peratus sedang mendapatkan rawatan lanjut di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (24), unit rawatan rapi (ICU) (67) dengan 36 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Secara keseluruhannya, penggunaan wad ICU kini mencecah 63.9 peratus untuk pelbagai rawatan bagaimanapun, untuk pesakit Covid-19 sahaja penggunaan wad itu kini berada di paras 18 peratus.

Mengenai kes kematian akibat jangkitan Covid-19, data menunjukkan setakat semalam terdapat sejumlah 11 kes dilaporkan dengan lima daripadanya adalah kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Empat daripada kes kematian itu dilaporkan di Johor, manakala tiga lagi di Selangor serta masing-masing satu kes di Kedah, Perak, Sarawak dan Sabah.

Kes kematian itu menjadikan jumlah terkini angka korban di negara ini meningkat kepada 36,177 kes dan daripada jumlah itu 7,689 kes adalah kes meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberikan.

Dalam pada itu, bagi kes sembuh di negara ini, sebanyak 3,206 kes pulih direkodkan. Ia menjadikan sehingga kini jumlah keseluruhan pesakit Covid-19 pulih daripada jangkitan berkenaan adalah sebanyak 4,694,041 kes.

Sementara itu, Selangor merekodkan kes tertinggi dengan 791 kes berbanding kelmarin 879, diikuti Perak 283 (165), Sabah 265 (214), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 231 (434), Negeri Sembilan 161 (142), Kedah 124 (103), Sarawak 120 (161), Pulau Pinang 112 (101), Melaka 109 (105), Johor 106 (107).

Negeri yang mencatakan kurang daripada 100 adalah Kelantan 85, Wilayah Persekutuan Putrajaya 82 (57), Pahang 75 (76), Terengganu 71 (61), Wilayah Persekutuan Labuan 11 (3), dan Perlis 10 (13).

Related posts

Leave a Comment