BN perlu 16 kerusi Parlimen di Perak

IPOH 23 Ogos – Barisan Nasional (BN) Perak diharap dapat menyumbang 16 kerusi Parlimen bagi membolehkan parti itu membentuk sebuah kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Pengarah Pilihan Raya BN,  Mohamad Hasan.

Pada masa yang sama katanya, BN juga perlu menambah sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di samping mengekalkan 27 kerusi yang telah dimenangi bagi membentuk kerajaan negeri yang kukuh pada PRU15 nanti.

“Kita ingin tubuh kerajaan di Perak dengan majoriti selesa. Jadi saya nasihatkan semua, supaya ketepikan kepentingan peribadi dan salah faham. Keutamaan kita adalah menang di PRU dan tubuh kerajaan,“ katanya di sini malam tadi.

Pada PRU14, BN Perak memenangi 27 daripada 59 kerusi DUN dan 11 daripada 24 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Katanya, 16 kerusi Parlimen itu termasuk 11 yang dimenangi pada PRU14 yang lalu manakala BN Perak perlu menambah menambah sembilan lagi kerusi DUN di samping mengekalkan 27 kerusi yang dimenangi sebelum ini.

Menurut Mohamad, lima kerusi DUN yang boleh dirampas kerana majoriti yang kurang daripada 1,000 undi iaitu Chenderiang, Selama, Kubu Gajah, Titi Serong dan Behrang manakala empat lagi yang berpotensi untuk dimenangi.

Bagi kerusi Parlimen, BN menang di Pasir Salak, Gerik, Parit, Padang Rengas, Bagan Datuk, Kuala Kangsar, Lenggong, Bagan Serai, Bukit Gantang, Larut dan Tapah.

Bagaimanapun, tiga ahli Parlimen BN meninggalkan UMNO adalah  Hamzah Zainudin (Larut), Dr Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai) dan Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang).

Sementara itu, Mohamad berkata melihat kepada kesiapsiagaan jentera hasil tinjauannya ke 11 negeri termasuk Perak, PRU boleh diadakan pada bila-bila masa.

“Perdana Menteri tunggu que sama ada kita bersedia atau tidak. Tidak guna masuk PRU kalau tidak sedia kerana PRU umpama masuk perang dan kita kena menang selain bersedia. Jangan sia-sia masuk perang kalau tidak bersedia untuk menang,” katanya.

Mengenai perjumpaan Presiden parti Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Ketua-ketua Bahagian UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Mohamad berkata ia disifatkan sebagai perjumpaan biasa dan tidak membabitkan apa-apa usul.

“UMNO ini tidak boleh buat perjumpaan. Nanti orang buat macam-macam spekulasi. Tidak boleh kami duduk sama-sama, orang cemburu hati dengan kita. Parti lain pun kumpul hari-hari, tiada pula tanya. Bila orang UMNO kumpul, ada yang kata itu ini,” katanya Timbalan Presiden UMNO.

Ditanya mengenai pertemuan pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO dengan Perdana Ismail Sabri Yaakob di kediaman rasminya di Seri Perdana malam tadi, Mohamad berkata ia lebih kepada sesi taklimat berkaitan perjalanan parti.

Related posts

Leave a Comment