Indikator Covid-19 tunjuk penurunan

PUTRAJAYA 22 Ogos – Kebanyakan indikator Covid-19 di negara ini mula menunjukkan penurunan pada Minggu Epidemiologi (ME) 33/2022 atau dalam tempoh 14 Ogos hingga Sabtu lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata secara keseluruhannya jumlah kemasukan pesakit Covid-19 di negara ini membabitkan kategori satu dan dua menurun sebanyak lima peratus berbanding minggu sebelumnya.

Dalam kenyataannya, beliau berkata bagi pesakit Covid-19 kategori tiga hingga lima pula,  menunjukkan penurunan sebanyak 15.4 peratus.

Bilangan kes baharu bagi ME 33/2022 menurun sebanyak 14.5 peratus iaitu daripada 26,678 kes kepada 22,282 kes.

Bagi jumlah kes tempatan pula, ia menurun 0.7 peratus (daripada 26,656 kes kepada 26,458 kes), manakala bilangan kes import meningkat 36.4 peratus (daripada 22 kes kepada 30 kes).

Bilangan kematian pula menurun 8.3 peratus (daripada 60 kes kepada 55 kes) dengan purata kes aktif setiap hari bagi ME 33/2022 adalah 42,010 iaitu menurun 6.0 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Mengulas jumlah kes sembuh pula, beliau berkata, ia menurun 8.5 peratus atau daripada 28,905 kes pada minggu lalu kepada 26,458 kes minggu ini.

Berhubung pengisian katil bagi fasiliti kesihatan Covid-19, Dr Noor Hisham berkata penggunaan katil bukan kritikal menurun satu peratus, manakala katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) menunjukkan sedikit peningkatan iaitu lima peratus.

Bagi penggunaan katil di Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), tiada perubahan berbanding ME sebelumnya manakala peratusan pesakit Covid-19 memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) pula meningkat 0.3 peratus.

Penurunan turut dapat dilihat bagi kes positif Covid-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara.

Bilangan kedatangan pesakit ke CAC menurun sebanyak 5.4 peratus, bilangan kes Covid-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah menurun sebanyak 9.9 peratus dan bilangan kes Covid-19 yang dirujuk CAC ke hospital menurun sebanyak 21.3 peratus.

“Untuk trend kes aktif harian Covid-19 yang dipantau secara maya (CAC Maya), pada akhir ME 33/2022 ia turun 16.3 peratus berbanding pada akhir ME 32/2022 (dari 62,516 kes kepada 52,326 kes),” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata hasil survelan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) pada ME 33/2022 mendapati sebanyak 101 sampel dalam kalangan pesakit seperti influenza (ILI) yang dikesan Covid-19 dengan kadar positif 14 peratus.

Bagaimanapun, tiada sampel Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dikesan positif Covid-19 dengan kadar positif kekal 1.8 peratus.

Related posts

Leave a Comment