Kes harian Covid-19 terus turun

PUTRAJAYA 22 Ogos – Kes baharu Covid-19 terus menunjukkan penurunan dengan 2,464 kes dilaporkan semalam, berbanding 2,798 pada hari sebelumnya menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 4,757,752 kes.

Menerusi data yang dikongsikan dalam laman sesawang COVIDNOW, kes baharu itu membabitkan 2,448 kes penularan tempatan dengan 16 lagi adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Pertambahan kes berkenaan menjadikan sehingga kini masih terdapat 38,918 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 di mana sebanyak 37,408 kes atau 96.1 peratus kini sedang menjalani kuarantin wajib di rumah.

Selain itu, sejumlah 3.6 peratus bersamaan 1,409 pesakit pula mendapatkan rawatan lanjut di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) (32) dan Unit Rawatan Rapi (ICU) (69) dengan 33 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Secara keseluruhannya, penggunaan ICU di seluruh negara kini mencecah 60.8 peratus dengan 18.5 peratus membabitkan pesakit Covid-19.

Setakat semalam, jumlah keseluruhan kematian di negara ini meningkat kepada 36,145 kes termasuk sembilan yang dilaporkan meninggal dunia semalam.

Mengenai kes sembuh di negara ini, sebanyak 4,427 kes dicatatkan, ia sekaligus menjadikan jumlah kes pulih sepenuhnya daripada jangkitan berkenaan kini adalah 4,682,689 kes.

Sementara itu Selangor masih merekodkan kes harian tertinggi dengan mencatatkan 748 berbanding 836 kelmarin diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 505 (570), Sabah 225 (262), Perak 195 (222), Negeri Sembilan 167 (161), dan Johor 101 (78).

Negeri yang mencatatkan kes di bawah 100 pula adalah Pulau Pinang 91 (111), Melaka 85 (129), Kedah 70 (86), Pahang 66 (74), Sarawak 62 (90),

Wilayah Persekutuan Putrajaya 50 (94), Kelantan 45 (37), Terengganu 43 (34), Perlis 9 (9) dan dan Wilayah Persekutuan Labuan 2 (5).

Related posts

Leave a Comment