PRESIDEN Amerika Syarikat yang dipilih, Joe Biden mengumumkan pasukan ekonominya pada Selasa, yang diketuai Janet Yellen, untuk jawatan Setiausaha Perbendaharaan atau Menteri Kewangan.
Katanya, pasukan itu mampu membentuk satu hala tuju baharu kepada pemulihan ekonomi, di tengah-tengah sekatan yang dikenakan dalam usaha mengawal penularan Covid-19.
Ketika ini, kadar pengangguran AS berada pada 6.9 peratus setakat Oktober dan isu utama adalah perbelanjaan pengguna yang terkesan.
Ekonomi Amerika bergantung kepada perbelanjaan pengguna dan tanpanya, perniagaan kecil dan sederhana tidak akan berkembang dan akan membuang pekerja.
Sasarannya bermula 20 Januari ini adalah untuk memastikan pasukan ekonominya fokus kepada pemulihan.
“Saya tahu kita dalam keadaan yang getir, tetapi ketahuilah, bantuan akan tiba.
“Minggu lepas saya namakan pemegang jawatan penting dalam dasar luar dan keselamatan negara. Dan hari ini, saya umumkan pelantikan pasukan ekonomi yang penting di dalam pentadbiran negara.
“Ini satu pasukan kelas pertama yang akan bantu kita mengharungi krisis ekonomi ketika ini dan membina semula ekonomi, malah ke kedudukan yang lebih baik dari sebelumnya,” katanya di Wilmington, Delaware.
Tambahnya, Yellen merupakan calon terbaik untuk pemulihan ekonomi.
“Janet merupakan salah seorang pemikir ekonomi utama negara kita masa kini.
“Beliau sepanjang kerjayanya menumpukan kepada pengangguran dan maruah kerja, iaitu sesuatu yang sangat penting kepada saya dan kepada kita semua.
“Beliau faham apa maknanya kepada masyarakat jika kita mempunyai pekerjaan yang bagus. Beliau dihormati dan dipandang tinggi,” kata Biden.