Dua isu ancaman kepada UMNO

PUTRAJAYA 21 Ogos – Seorang penganalisis politik dari Sunway University, Profesor Wong Chin Huat, berkata, UMNO pada satu ketika dilihat berada dalam situasi yang cukup selesa untuk mendapatkan kuasa majoriti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun ketika ini, ada dua isu yang menjadi ancaman terhadap UMNO iaitu membabitkan kes kapal tempur pesisir (LCS)  dan perkembangan akhir kes rasuah mantan Perdana Menteri Najib Razak.

“Pengundi Melayu Islam sangat pentingkan soal pertahanan dan kedaulatan negara. Kecuali UMNO menyerang korupsi secara proaktif, isu LCS akan menghakis sokongan orang Melayu, yang mungkin berpindah ke arah PN… kalau tidak ke PH,” katanya.

Dalam ucapan pada Simposium Keluarga Malaysia di sini hari ini, beliau melihat sebarang pergolakan yang berlaku dalam parti UMNO ketika ini tidak lebih daripada bebanan yang akan merugikan UMNO itu sendiri.

Malah ia tidak akan membantu parti itu untuk menjamin kemenangan seandainya benar berlaku pergolakan dan ancaman berterusan terhadap Naib Presidennya yang juga Perdana Menteri.

Beliau juga menarik perhatian bahawa, Ismail Sabri pada hakikatnya memiliki jumlah majoriti yang paling tinggi sejak negara ini mencapai kemerdekaan.

“Kerajaannya mempunyai majoriti lebih 52.3 peratus.. ini adalah kerajaan campuran daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta parti kecil dan ahli-ahli bebas.

Tetapi dengan perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandangani oleh pembangkang di mana PH ketika itu memiliki 40.9 peratus kerusi di Dewan Rakyat, Ismail Sabri sebenarnya menikmati majoriti berkesan (effective majority) setinggi 93.1 peratus.   

“Ini adalah majoriti yang paling tinggi sejak kemerdekaan… lebih tinggi daripada majoriti 90.9 peratus yang diperolehi oleh Tun Abdullah Badawi,” jelasnya ketika menyampaikan ucapan ada Simposium Keluarga Malaysia di sini hari ini.

Malah katanya lagi, soal yang menjadi kerisauan ramai ketika ini termasuk Perdana Menteri iaitu kemungkinan berlakunya ‘hung Parliament’ atau Parlimen tergantung sebenarnya tidaklah menyebabkan keadaan yang teruk seperti digambarkan.

Pembetukan sesebuah kerajaan campuran katanya bukanlah sesuatu yang asing berlaku di dunia atau menyebabkan kerosakan terhadap sesebuah negara.

Sebaliknya jika dilihat dengan lebih luas konteks tersebut, jelasnya lagi, ada negara yang berjaya disebabkan kekuatan yang diperoleh daripada campuran kerajaan yang dibentuk.

Beliau menarik perhatian mengenai Jerman yang sejak selepas Perang Dunia Kedua, semua kerajaan di negara itu adalah kerajaan campuran dan hari ini Jerman tetap muncul sebagai sebuah negara yang memiliki ekonomi yang paling kuat dalam kalangan negara dalam Kesatuan Eropah.

Begitu juga New Zealand yang semua kerajaannya daripada 1996 sehingga 2020 adalah kerajaan campuran, tetapi maju dan stabil.

“Jangkaan terhadap Parlimen tergantung itu benar tetapi tak perlu khuatir, kerana faktor yang paling utama adalah parti-parti dari Sabah dan Sarawak memilih jalan sendiri.

“Ini bermaksud, untuk mengelakkan Parlimen tergantung, gabungan nasional seperti BN perlu memenangi hampir seratus kerusi di Semenanjung dan ia hampir tidak mungkin berlaku, kecuali kadar mengundi sangat rendah. Kalau kadar mengundi sangat rendah, keabsahan kerajaan pula akan dipertikaikan,” jelasnya.

Related posts

Leave a Comment