Tiada usul Pas ‘tinggalkan’ UMNO

ALOR SETAR 20 Ogos – Tiada usul diterima bagi memutuskan hubungan dengan UMNO melalui Muafakat Nasional (MN) untuk dibahaskan pada Muktamar Pas kali ke-68 mulai 1 hingga 4 September ini.

Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan mengesahkan tiada mana-mana perwakilan daripada keseluruhan 197 kawasan di seluruh negara mengemukakan usul berkaitan.

Katanya, hanya terdapat beberapa perkara dibangkitkan mengenai hubungan di dalam MN tetapi tidak lebih daripada penekanan atau fokus terhadap memperkasakan penyatuan ummah.

Takiyuddin menegaskan bahawa pendirian yang diambil Pas berhubung MN amat jelas di mana penyatuan ummah tidak terhad kepada parti itu dan UMNO sahaja, memandangkan ada parti lain yang mempunyai peranan yang sama.

“Antaranya memang dibangkitkan dari segi isu muafakat, muafakat tak lebih daripada menekankan penyatuan ummah, tidak ada yang saya dengar ini, yang bercanggah dengan pendirian Pas.

Pendirian Pas jelas, penyatuan ummah bukan hanya terhad kepada Pas dan UMNO, ada parti lain mempunyai peranan yang sama,” katanya selepas melakukan tinjauan persiapan Muktamar di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, malam tadi.

Muktamar Pas akan dimulakan dengan Muktamar Dewan-Dewan Peringkat Pusat merangkumi Dewan Pemuda, Dewan Ulamak dan Dewan Muslimat selain Konvensyen membabitkan Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) serta Sidang Assabiqun Pas Pusat yang akan berlangsung pada 1 dan 2 September.

Manakala, Muktamar Pas Pusat akan diadakan di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut pada 3 dan 4 September serta melancarkan Jentera Pilihan raya parti peringkat Pusat pada malam 3 September.

Related posts

Leave a Comment