Ikan, ketam jalani ‘swab test’ di Xiamen

DI Xiamen, tular rakaman video menunjukkan pekerja-pekerja perubatan melakukan ujian calitan atau ‘swab test’ Covid-19 ke atas ikan dan ketam hidup.

Ini bukan kali pertama ujian calitan Covid-19 dilakukan terhadap haiwan, malah sejak kebelakangan ini ada notis pihak berkuasa supaya ujian itu dilakukan.

Jawatankuasa Daerah Kawalan Pandemik Maritim di Xiamen mengeluarkan notis menegaskan bahawa apabila nelayan kembali ke pelabuhan, mereka dan hasil tangkapan laut mesti menjalani ujian Covid-19.

Media China sebelum ini menyatakan kebimbangan bahawa hidupan laut mungkin mempunyai kaitan dengan penyebaran pandemik coronavirus.

Ini berikutan kes terawal pandemik Covid-19 dikaitkan dengan pasar haiwan dan makanan laut hidup di bandar Wuhan di tengah China.

Pihak berkuasa juga mengambil iktibar daripada Hainan yang menyaksikan penularan wabak yang teruk.

Wilayah Hainan di tepi pantai, selatan China, merekodkan lebih 10,000 kes Covid-19 sejak awal Ogos ini dan pihak berkuasa percaya wabak itu mungkin ada kaitan dengan masyarakat nelayan.

Related posts

Leave a Comment