Najib tamatkan khidmat firma guaman

PUTRAJAYA 19 Ogos – Selepas gagal menarik diri semalam, situasi berubah hari ini apabila Mahkamah Persekutuan diberitahu bahawa peguam cara, firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) diberhentikan khidmat bagi mewakili bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Peguam utama Najib , Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan perkara itu sebelum hujahan pendakwaan disambung.

Sehubungan itu, panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat meneruskan prosiding rayuan akhir dengan mendengar sambungan hujahan pendakwaan.

Pihak pendakwaan yang diketuai, Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram akan menyambungkan penghujahan pagi ini yang memasuki hari kedua rayuan itu didengar.

Selain Tengku Maimun, panel hakim itu turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan dan Mohamad Zabidin Mohd.

Semalam, mahkamah menolak permohonan peguam Hisyam Teh Poh Teik untuk menarik diri daripada mewakili Najib dan memerintahkan pihak pendakwaan untuk membentangkan penghujahan.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan setiap tiga pertuduhan pengubahan wang haram, dan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (jika gagal bayar, penjara lima tahun) bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda.

Related posts

Leave a Comment