Zahid gesa solidariti kepada Najib

KUALA LUMPUR 17 Ogos – Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi, menggesa ahli parti itu untuk memberi sokongan dan solidariti kepada Najib Razak selepas bekas Perdana Menteri itu gagal menangguhkan rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, semalam.

Ahmad Zahid menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook miliknya, berkata keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan Najib tidak menghalang UMNO untuk terus berjuang bersama Ahli Parlimen Pekan itu dalam parti dan kes yang sedang dibicarakan.

Beliau bagaimanapun menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan tidak mahu dikatakan menghina mahkamah.

“Marilah kita terus bersatu hati, bersolidariti bersama Datuk Seri. Jangan putus asa. Terus tabah dan terus berjuanglah bersama kita.

“Terlalu banyak jasa dan sumbangan yang beliau berikan untuk UMNO dan Barisan Nasional (BN), yang tak akan dapat dilupuskan dalam sejarah negara,” katanya.

Tambahnya, ketika Pakatan Harapan memerintah selama 22 bulan, beliau (Najib) berjaya menangkis serangan ketika UMNO diperlekehkan dan cuba dikuburkan oleh musuh politik.

Katanya, Najib adalah raja media sosial dan berjaya membantu memulihkan UMNO lebih cepat hingga mereka yang sebelum ini pernah menjauhi dan memperlekeh, dilihat bukan sahaja mahu mendekati, malah mahu menguasai parti itu pula sekarang.

“Melalui media sosial Facebook, beliau berjaya menjawab serangan pembangkang dan musuh dalam selimut dengan data dan fakta.

“Ketika Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabah, Melaka dan Johor, beliau berkampung dan berkempen membantu kemenangan UMNO, BN. Inilah Najib Razak yang kita hormati memperjuangkan UMNO,” katanya.

Beliau berkata, setiap akar umbi cawangan dan bahagian UMNO dan BN akan terus bersama Najib.

“Kita bukan kacang lupakan kulit, itulah persahabatan dan perjuangan sejati kita dalam UMNO,” katanya.

Semalam, Najib melahirkan rasa sedih dan kecewa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya untuk memasukkan bukti tambahan membabitkan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, menerusi rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Mohd Nazlan adalah hakim Mahkamah Tinggi (kini Hakim Mahkamah Rayuan) yang mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram dana SRC dan memerintahkannya dipenjara 12 tahun serta didenda RM210 juta pada 28 Julai 2020.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati tiada kaitan antara jawatan Mohd Nazlan sebelum ini sebagai Kaunsel dan Setiausaha Syarikat Kumpulan Maybank yang boleh menyebabkan berat sebelah terhadap Najib.

Related posts

Leave a Comment