SINGAPURA melaporkan enam kes baharu Covid-19, semuanya kes import (setakat 12.00 tengah 17 November) yang membawa jumlah terkumpul kes sebanyak 58,130.
Kesemua enam kes itu dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sebaik saja mereka tiba di Singapura.
Menurut Kementerian Kesihatan, tiada kes jangkitan tempatan dilaporkan untuk tempoh tujuh hari berturut-turut.
Daripada enam kes itu, lima kes tidak menunjukkan simptom dan dikesan melalui pemeriksaan dan pemantauan proaktif manakala satu kes bergejala melibatkan seorang lelaki rakyat Singapura berusia 55 tahun yang pulang dari India.
Tiga kes import tiba dari Filipina – dua daripada mereka adalah pemegang permit kerja, kedua-dua wanita berusia 27 dan 41 tahun dan seorang wanita pemegang pas lawatan jangka panjang yang berusia 28 tahun.
Dua lagi adalah wanita berusia 30 tahun, pemegang permit kerja yang tiba dari Myanmar dan seorang wanita 62 tahun pemegang pas tanggungan yang tiba dari Britain.
Sementara itu, enam kes dilaporkan sembuh menjadikan jumlah keseluruhan pesakit pulih sebanyak 58,039 manakala 37 lagi pesakit sedang menerima rawatan.
Setakat ini 28 orang meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan Covid-19.
