SKSSR bagi suri rumah lelaki

KUALA LUMPUR 17 Ogos – Kerajaan akan mengkaji cadangan untuk memperluaskan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk golongan lelaki yang bergelar ‘suri rumah’.

Menteri Sumber Manusia, M Saravanan, berkata walaupun suri rumah lelaki bukan budaya di negara ini, namun pihaknya tiada masalah untuk memperluaskan skim berkenaan jika terdapat keperluan berbuat demikian.

“Perkara ini dibangkitkan dalam Jemaah Menteri. Kita perlu satu kajian yang sepenuhnya untuk kenal pasti berapa ramai suami jadi suri rumah.

Bagaimanapun, jika diikutkan budaya di Malaysia…majoriti suami bekerja, manakala isteri jaga rumah tangga, tetapi kita akan mula dengan wanita dulu dan kaji dengan mendalam apa keperluan,” katanya pada sidang media khas mengenai SKSSR di Wisma HRDF di sini, hari ini.

RUU Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 diluluskan di Dewan Rakyat pada 25 Julai lalu, bertujuan melaksanakan SKSSR. Skim berkenaan akan berkuat kuasa pada 1 Disember ini.

Diluluskan secara sebulat suara, RUU itu antara lain membolehkan SKSSR dilaksanakan bagi menjaga kebajikan suri rumah akibat berlaku sebarang kejadian ketika menguruskan rumah tangga serta melindungi mereka daripada sebarang penyakit yang menjejaskan kerja sebagai seorang suri rumah.

Mengulas lanjut mengenai pelaksanaan skim berkenaan, Saravanan berkata, ia bukan wajib atau secara paksaan kerana ia bergantung kepada keupayaan serta kemampuan mencarum untuk isteri.

Bagaimanapun, beliau berkata, suami boleh berbincang atau membuat permohonan kepada Perkeso sekiranya tidak ada kemampuan atau keupayaan meneruskan caruman untuk isteri mereka.

Namun, katanya, suami boleh didenda tidak melebihi RM10,000 jika mereka sudah mula membayar caruman tetapi gagal meneruskannya.

“Saya merayu kepada suami mencarum serendah RM10 sebulan supaya isteri mereka memperoleh manfaat.

“Saya percaya, suami harus menunjukkan rasa sayang dan keprihatinan kepada isteri mereka. Walaupun tidak wajib dan bukan paksaan tetapi ia penting,” katanya.

Bagi suami yang berpoligami pula, beliau mengalu-alukan mereka mencarum untuk isteri masing-masing.

Related posts

Leave a Comment