SRC : Mahkamah tolak bukti tambahan

PUTRAJAYA 16 Ogos – Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara menolak permohonan Najib Razak memasukkan bukti tambahan membabitkan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menerusi rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Keputusan itu dibuat selepas panel yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat mendapati tiada kaitan antara jawatan Mohd Nazlan sebelum ini sebagai Kaunsel dan Setiausaha Syarikat Kumpulan Maybank yang boleh menyebabkan berat sebelah terhadap pemohon (Najib).

Mohd Nazlan adalah hakim Mahkamah Tinggi (kini Hakim Mahkamah Rayuan) yang mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram dana SRC dan memerintahkannya dipenjara 12 tahun serta didenda RM210 juta pada 28 Julai 2020.

Hakim lain yang membuat keputusan itu ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Tengku Maimun yang membacakan penghakiman, berkata mahkamah berpandangan bukti tambahan yang ingin dimasukkan tidak relevan dengan pertuduhan ke atas bekas Perdana Menteri itu.

Semalam, bekas Perdana Menteri itu memohon untuk memasukkan antaranya, keterangan viva voce (lisan) pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosli Hussein yang menjalankan siasatan ke atas skandal SRC.

Keterangan itu adalah sama ada beliau (Rosli) menyedari peranan lalu dan pembabitan Mohd Nazlan sebagai Kaunsel dan Setiausaha Syarikat Kumpulan Maybank, terutamanya dalam khidmat nasihat strategik yang diberikan Maybank Investment Berhad dan bahagian nasihat kewangan Maybank, Bina Fikir Sdn Bhd kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi penubuhan SRC pada tahun 2010/2011.

Bukti tambahan lain ialah keterangan lisan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berhubung perananannya ketika menjawat jawatan itu dalam urusan dan pelantikan Maybank Investment Berhad dan Bina Fikir Sdn Bhd serta pegawainya berkaitan khidmat nasihat strategik dalam penubuhan SRC International.

Najib, 69, diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik, Zaid Ibrahim, Liew Teck Huat dan M. Rueben, manakala pasukan pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, V. Sithambaram dengan dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Donald Joseph Franklin, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Mohd Ashrof Adrin Kamarul dan Manjira Vasudevan.

Related posts

Leave a Comment