PRU : Biar sahaja baki penggal ini berakhir
BUKANLAH satu kejutan apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih dengan cita-citanya untuk melihat Presidennya, Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Menghormati gencatan politik UMNO tetapi menambah dengan ayat ‘berlapik’, PKR akan “mengekalkan usaha ke arah mengembalikan mandat rakyat”.
Mandat rakyat itu sudah tentulah bermaksud mengembalikan kerajaan yang ada kepada Pakatan Harapan (PH). Benar mandat rakyat untuk PH kerana jumlah kerusi dimenangi PH pada pilihan raya umum (PRU) lalu lebih besar. Bagaimanapun mandat rakyat itu berakhir disebabkan ‘permainan’ politik wakil rakyat sendiri.
Kerajaan PH tumbang selepas Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad yang mewakili PH ketika itu meletak jawatan. Ditambah pula episod lompat melompat.
Justeru di mana kedudukan mandat rakyat sekarang? Apa status mandat rakyat? Bagaimana mahu mengembalikan mandat rakyat?
Ketika UMNO menegaskan untuk melakukan gencatan politik serta menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) di samping memperkasakan Muafakat Nasional (MN), adakah usaha PKR akan berjaya? Dengan UMNO berpendirian ‘Tolak Anwar, Tolak DAP’ , maka senarai sokongan kepada Anwar secara tidak langsung akan berubah. Itu pun jika benar sebelum ini ada wakil rakyat UMNO menyokong Anwar.
Amanah dan DAP sudah pasti menyebelahi Anwar. Bagaimana pula sokongan Pejuang yang masih ada lima orang wakil rakyat? Adakah sokongan mereka untuk Anwar sedangkan Pejuang mencadangkan Dr.Mahathir sekali lagi diberi jawatan PM untuk kali ketiga? Bagaimana pula dengan Warisan yang presidennya, Shafie Apdal turut ‘dicalonkan’ sebagai Perdana Menteri? Pada masa yang sama timbul juga nama veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah.
Ketika setiap parti politik sedar bahawa bencana Covid-19 menjejaskan ‘kesihatan rakyat’ sama ada ‘nyawa atau ekonomi’, masing-masing terus memberi fokus kepada kuasa. Usul tidak percaya dijadikan langkah seterusnya untuk mengembalikan ‘mandat rakyat’. Tidak mustahil Bajet 2021 juga mungkin dijadikan mangsa kerakusan politik pihak-pihak berkenaan.
Apakah kesudahannya? Bubar Parlimen dan mengadakan PRU ketika wabak Covid-19 terus menggila? Masih tidak serik pengalaman Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ? Bagi orang politik, sesetengah daripada mereka akan menolak alasan PRU perlu dielakkan ketika Covid-19 ini.
Kata-kata mereka sering berubah mengikut situasi dan selera mereka. Lebih banyak yang gemar ‘menuding jari’, mengambil peluang ‘buat salah, tak buat salah’. Semuanya serba salah.
Rakyat yang memberi mandat pun sudah bosan. Menyelak kembali mandat kepada PH, andai tinjauan dibuat berapa ramai yang masih berpegang kepada pilihan mereka semasa PRU dan berapa ramai pula menyesal tak sudah dengan undi mereka? Tidak kiralah sama ada mereka menyokong PH atau Barisan Nasional (BN).
Kita tidak tahu sama ada rakyat yang keluar mengundi semasa PRU lalu sudah tersilap perhitungan dan menyesali pilihan mereka. Namun, mereka tidak ada pilihan, terpaksa menunggu tempoh lima tahun berakhir. Yang boleh berubah hanyalah wakil rakyat mereka.
Wakil rakyat tidak perlu habis tempoh untuk beralih sokongan atas alasan untuk ‘kepentingan rakyat’ kecuali meletak jawatan, tidak lagi mampu berkhidmat atau meninggal dunia. Rakyat hanya mampu menyuarakan hasrat melalui peti undi. Suka atau tidak, tunggulah sehingga peti undi muncul semula.
Hari ini, ketika mandat lima tahun semakin berkurangan, mungkin boleh diambil kira berbaki dua tahun atau 30 bulan, parti politik sepatutnya menunggu saat dan ketika Parlimen dibubar berdasarkan sejauh mana Covid-19 bukan lagi satu ancaman. Anggap sahaja PRU boleh diadakan pada bila-bila masa.
Untuk rekod, penggal Parlimen jarang akan tamat tempoh genap lima tahun, kebanyakannya berakhir lebih awal. Justeru bersabarlah.
Kecuali Covid-19 tidak reda, dan masanya tiba untuk PRU, maka ketika itu buatlah keputusan. Pada masa yang sama berilah peluang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersedia dengan kaedah baharu atau prosedur operasi standard (SOP) supaya pengundi lebih selamat mengundi semasa pandemik Covid-19.
Kuasa dan Kesihatan perlu diseimbangkan. Tidak ada guna kuasa tanpa kesihatan, bukan hanya kesihatan wakil rakyat tetapi rakyat yang diwakili wakil rakyat.
Ketepikan seketika soal kuasa, utamakan kesihatan. Jangan buang masa dengan tindak tanduk yang boleh mengganggu usaha kerajaan untuk memerangi wabak ini dan pada masa sama membantu rakyat yang semakin terhimpit akibat wabak ini. Ingat bukan Malaysia sahaja yang rasa ‘terhimpit’ tetapi juga dunia.
Sekarang masa untuk bergerak bersama. Siapa pun yang menerajui kerajan hari ini perlu disokong. Jika parti politik ada cara atau idea lebih baik untuk memerangi wabak Covid-19, bentangkan kepakaran itu, bukan sekadar bercakap.
Jika ada idea untuk membangun semula ekonomi, bentangkan. Langkah itu lebih baik berbanding ‘menyanyikan lagu ubah kerajaan’ dengan idea untuk ‘merebut kuasa’ atau ‘mengambil balik kuasa’. Tidak ada jaminan, ‘ubah’ akan menjadikan semuanya lebih baik. Lainlah jika ‘ubah’, Covid-19 pun lenyap.
Bagi yang terus menyimpan cita-cita untuk berkuasa, bersabarlah menanti peluang untuk melangkah ke Putrajaya kerana orang politik tidak pernah letih untuk melangkah ke puncak kuasa. Mereka sentiasa mencari ruang dan peluang. Yang pintar dan bijak berpolitik akan terus hidup.
Samalah seperti virus Covid-19 yang tidak mengenal atau memilih siapa mangsanya. Semuanya terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19 lebih-lebih lagi warga emas dan mereka yang tidak peduli dengan SOP normal baharu kehidupan.