Sambutan Negara di Turkiye

ANKARA 16 Ogos – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, diberi Sambutan Negara di Kompleks Presiden hari ini sempena lawatan baginda ke Turkiye.

Keberangkatan tiba Seri Paduka pada pukul 5.30 petang (waktu tempatan) disambut oleh Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Baginda menerima tabik hormat daripada Pasukan Pengamanan Presiden, diiringi lagu kebangsaan Malaysia ‘Negaraku’ dan lagu kebangsaan Turkiye ‘Istiklal Marsi’ serentak dengan tembakan meriam 21 das.

Al-Sultan Abdullah yang diiringi Erdogan, kemudian memeriksa perbarisan pasukan kawalan kehormatan serta diperkenal kepada barisan Kabinet pemerintah Turkiye.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, kini dalam rangka Lawatan Negara ke Turkiye selama tujuh hari bermula semalam.

Al-Sultan Abdullah juga melakukan pertemuan empat mata dengan Erdogan di Istana Presiden.

Pertemuan Al-Sultan Abdullah dengan Presiden Turkiye itu adalah yang pertama selepas baginda menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai 2019.

Related posts

Leave a Comment