Najib kecewa dan terkejut

PUTRAJAYA 16 Ogos – Bekas Perdana Menteri,  Najib Razak terkejut dan kecewa terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonannya untuk memasukkan bukti berkaitan hakim, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Beliau mendakwa, permohonannya untuk memasukkan bukti tentang kedudukan Mohd Nazlan dalam Kumpulan Maybank sebelum ini, sememangnya mempunyai konflik kepentingan yang cukup besar.

“Saya terkejut. Saya kecewa dengan keputusan mahkamah yang tidak membenarkan saya memasukkan bukti baharu yang saya sesungguhnya percaya hakim Mohd Nazlan mempunyai konflik kepentingan yang tinggi.

“Beliau pastinya mempunyai pengetahuan peribadi yang dalam tentang semua transaksi berkaitan dana 1MDB dan juga SRC, selain penyiasatan berkaitan penglibatan beliau dalam Maybank oleh SPRM,” katanya kepada media di lobi Istana Kehakiman di sini, hari ini.

Terdahulu, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan menolak pasukan pembelaan Najib untuk memasukkan bukti tambahan yang dikatakan bukti baharu yang membabitkan kedudukan Mohd Nazlan dalam Kumpulan Maybank, sebelum rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International yang dihadapi Najib.

Berikutan penolakan itu, mahkamah menetapkan prosiding rayuan akhir itu akan bermula Khamis ini.

Related posts

Leave a Comment