PN gesa Melayu keluar mengundi

MUAR 4 Sept. – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menggesa pengundi Melayu keluar mengundi bagi membolehkan kemenangan PN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Sabtu ini.

Katanya, berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan lalu ataupun Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini, peratusan rendah pengundi Melayu keluar mengundi menyebabkan beberapa kerusi gagal dimenangi PN.

Mengambil contoh senario ketika PRN di enam negeri bulan lalu, Muhyiddin, berkata paling ketara di Selangor apabila hanya 71 peratus pengundi Melayu mengundi menyebabkan PN gagal menawan di tujuh kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.

Beliau berkata, parti gabungan itu sepatutnya boleh membentuk kerajaan di Selangor jika peratusan pengundi Melayu mencecah 80 peratus dan ke atas.

“Kalau dipecahkan undi Melayu yang keluar mengundi, mungkin kurang daripada peratusan itu. Situasi ini menyebabkan tujuh kerusi yang sepatutnya PN boleh menang tapi tewas.

“Dari segi majoriti keseluruhan diperolehi di tujuh kerusi itu, mereka (Pakatan Harapan) menang hanya 13,000 undi. Kalau kita (PN) dapat lebih 7,000 undi lagi, kita boleh menang bukan setakat tujuh malah lebih daripada itu untuk membentuk kerajaan negeri.

Tetapi kita kalah di tujuh kerusi yang diperlukan untuk menggenapkan 29 kerusi bagi membolehkan PN membentuk kerajaan di Selangor.

“Inilah contoh yang nyata berlaku di hadapan kita apabila kegagalan orang Melayu keluar beramai-ramai mengundi walaupun sudah berkali-kali pilihan raya sama ada PRU atau PRN ataupun PRK,” katanya ketika berucap pada Ceramah Mega PN di Markas PAS Simpang Jeram malam tadi.

Hadir sama, bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, Presiden Gerakan,  Dr Dominic Lau Hoe Chai, Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin dan calon PN, Dr Mohd Mazri Yahya.

Muhyiddin mengingatkan pengundi Melayu supaya keluar mengundi bagi membolehkan kemenangan kepada PN terutama di Pilihan Raya Kecil Parlimen (PRK) Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Sabtu ini.

Katanya , adalah menjadi tanggungjawab bagi semua pemimpin Melayu terutama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) memberi penerangan kepada mereka supaya keluar mengundi.

Related posts

Leave a Comment