Bubar: PM tunggu laporan Wanita BN

KUALA LUMPUR 14 Ogos – Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan membubarkan Parlimen selepas menerima laporan Pergerakan Wanita Barisan Nasional (BN) bahawa gabungan itu boleh menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata, peranan Wanita BN amat penting kerana melalui hasil risikan mereka, parti akan mengetahui kekuatannya dan sekali gus menggerakkan jentera bagi menyasarkan tindakan yang akan dilakukan.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO, berkata sebagai Perdana Menteri, beliau menerima banyak laporan kajian sikap pengundi daripada pelbagai pihak, namun beliau hanya berpegang kepada laporan Wanita BN.

“Saya bukan tidak percaya kepada yang lain, tetapi Wanita (BN) berada di mana-mana. Sebagai contoh, Wanita UMNO berada di setiap kampung.

Jika ada 10 rumah, satu Wanita (UMNO) akan jaga sebagai contoh dan jika di FELDA, ada dua hingga tiga Wanita (BN) di setiap blok.

“Sebab itu saya anggap laporan Wanita (BN) adalah laporan yang tepat. Jadi, untuk saya bubarkan Parlimen, saya nak dapatkan laporan lengkap daripada Wanita (BN),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi Bicara Hati Perdana Menteri sempena Konvensyen Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Ismail Sabri menegaskan motif memasuki pilihan raya bukanlah untuk memuaskan hati pihak tertentu, sebaliknya untuk menang dan membentuk kerajaan.

Justeru, katanya sebab itulah beliau akan berpegang kepada laporan daripada Wanita BN untuk membantu dalam memutuskan pembubaran Parlimen, sekali gus memberi laluan kepada PRU-15.

“Saya akui PRU pada kali ini lebih sukar, justeru kajian sikap perlu dilaksanakan semua sayap Wanita komponen BN dan bukan hanya oleh UMNO, bagi mendapat gambaran sebenar berhubung status pengundi sama ada putih, kelabu atau hitam.

“Parti amat bergantung kepada peranan Wanita. Gagalnya Wanita memberi risikan sebenar, parti boleh kalah dalam pilihan raya.

“Sekarang lebih sukar kerana adanya pengundi baharu yang berdaftar setiap hari. Justeru, Wanita perlu memikirkan pelbagai kaedah untuk memastikan risikan dapat dilaksanakan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, BN tidak boleh hanya mengharapkan sokongan daripada ahli parti semata-mata keran ia mungkin membabitkan hanya 30 peratus pengundi, manakala selebihnya adalah bukan penyokong atau pengundi atas pagar.

“Jika kita hanya harapkan undi pengundi parti semata-mata, kita tidak akan menang. Jangan kita seronok apabila membuat kajian sikap kepada ahli parti kita saja.

“Ramai yang dulu berkata kita dijamin menang, tetapi yang beri jaminan itu adalah penyokong kita.

“Sebab itu banyak negeri yang kalah pada PRU lalu, malah di peringkat Persekutuan pun, kita dikatakan akan dapat dua pertiga, boleh menang 148 kerusi…tetapi apabila PRU dilaksanakan, kita kalah,” katanya.

Beliau juga menegur segelintir kumpulan kecil dalam parti, yang dilihat seolah-oleh ‘menembak kaki’ sendiri dan boleh menyebabkan BN kecundang pada PRU-15.

“Saya harap kenyataan yang dibuat tidak menunjukkan kerajaan ini bukan sebahagian daripada kita. Kadang-kadang, kita rasa sebagai hero ‘tembak’ kawan kita, sesetengah itu kita tidak sentuh pun pemimpin pembangkang.

“Mulai hari ini, kita mesti ‘tembak’ pemimpin pembangkang, bukan ‘tembak’ pemimpin sendiri,” katanya.

Related posts

Leave a Comment